Perpustakaan Sekolah Perlu Diperkasa Untuk Kekal Relevan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 9 Second

LABUAN: Pusat Sumber Sekolah (PSS) perlu diperkasa dengan mempelbagaikan lagi bahan dan kegunaannya selain menerapkan penggunaan teknologi baharu bagi memastikan fungsinya sebagai pusat sumber pendidikan yang menjadi rujukan murid dan pelajar terus kekal relevan.

Perkara itu ditekankan Pengerusi Persatuan Pustakawan Malaysia, Datin Che Normadiah Che Abbas ketika mengupas senario PSS di Malaysia dalam Bicara Ilmu Kali Kelima anjuran Pertubuhan Guru Perpustakaan Media Malaysia (PGPMM), pada 25 Jun lalu.

Program secara maya melalui pelantar Streamyard dan siaran secara langsung di Youtube PGPMM serta laman Facebook PGPMM itu dijayakan dengan kerjasama Persatuan Pustakawan Malaysia (PPM).

Che Normadiah berkata perubahan perlu dilakukan ke arah memperkasa PSS berikutan situasi kebanyakan perpustakaan sekolah ketika ini berada di bawah paras memuaskan dengan tumpuan dan bimbingan perlu diberikan kepada sekolah yang mencapai satu dan dua bintang.

“Bagi menangani masalah ini, kita perlu melaksanakan beberapa langkah,  antaranya mempelbagaikan bahan pengajaran dan pembelajaran (PDP) serta merancang, melaksana dan mengawal selia projek inovasi, projek rintis atau projek khas.

“Kita juga perlu menyelaras penggunaan premis sebagai pusat latihan serta merancang, menyelaras, mengurus, melaksana, memantau dan menilai pengintegrasian teknologi pendidikan, literasi digital, pusat sumber sekolah serta menyelaras aktiviti khidmat bantu dan bimbingan penerbitan bahan multimedia,” katanya.

Beliau berkata kewujudan PSS dalam sistem pendidikan penting untuk memastikan transformasi pendidikan seperti yang digariskan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 mencapai matlamatnya.

Selain itu, katanya PSS juga perlu selari dengan perkembangan semasa dan dapat terus menyokong pelaksanaan kurikulum selain menerapkan penggunaan teknologi digital secara inovatif dalam ekosistem pendidikan bagi melahirkan generasi fasih digital yang berdaya saing.

Che Normadiah berkata, beberapa cadangan boleh dilaksanakan pengurusan PSS termasuk melaksanakan jaringan dan perkongsian strategik di antara Guru Perpustakaan dan Media (GPM) dengan perpustakaan universiti atau Fakulti Pengajian Maklumat di mana-mana universiti.

“Cadangan kedua pula ialah membantu meningkatkan kompetensi GPM dalam pengurusan PSS dan literasi media serta maklumat, manakala cadangan ketiga ialah meningkatkan koleksi bahan bacaan sumber pendidikan melalui usaha secara kolaboratif.

“Seterusnya, cadangan keempat adalah memberi khidmat bimbingan dan kepakaran untuk meningkatkan perkhidmatan PSS termasuk bacaan, manakala cadangan kelima menekankan perkongsian teknologi terkini dalam bidang pengurusan maklumat selaras dengan peredaran zaman,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pustakawan Universiti Malaya, Dr Khasiah Zakaria, menekankan keperluan untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan PSS bagi memenuhi kehendak murid dan pelajar selaku penggunanya, selain untuk membentuk Pusat Sumber Bestari.

Katanya, kemahiran berkaitan pengurusan perpustakaan di sekolah juga dapat membantu mempromosikan kerjaya sebagai pustakawan dalam kalangan murid dan pelajar dengan memupuk minat mereka dari peringkat awal persekolahan.

Turut berkongsi pandangan dan pengalaman berhubung kepentingan GPM ialah Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Maklumat Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Perdana, Dr Shamila Mohamed Shuhidan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *