Taman-Taman Sabah Lancar Bulan Renjer Muda 2021

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU: Bersempena dengan Hari Renjer Sedunia yang akan diraikan pada penghujung Julai, Taman-Taman Sabah telah melancarkan satu program Bulan Renjer Muda Taman-Taman Sabah 2021 yang diadakan pada hari ini 1 Julai.

Pengarah Taman-Taman Sabah Dr Maklarin Lakim dalam ucapannya semasa melancarkan program tersebut secara maya di sini, menyatakan sambutan Hari Renjer Sedunia merupakan satu acara tahunan yang disambut pada setiap 31 Julai bagi memperingati jasa para renjer yang terkorban dalam menjalankan tugas serta mengiktiraf pengorbanan para renjer iaitu pejuang belantara yang bertanggungjawab untuk memastikan sumber semulajadi dan biodiversiti sentiasa dilindungi.

Katanya, sambutan Hari Renjer Sedunia ini amat sinonim dengan Taman-Taman Sabah yang juga mempunyai Renjer di seluruh stesen Taman dalam negeri Sabah.

“Salah satu tugas utama renjer Taman-Taman Sabah adalah untuk menguatkuasa Enakmen Taman-Taman 1984 yang menjadikan Renjer Taman memainkan peranan yang amat penting dalam melindungi dan memelihara kawasan taman dan boleh kita diibaratkan sebagai benteng pertahanan utama dalam melindungi sumber biodiversiti supaya keseimbangan ekosistem dapat dikekalkan,”ujarnya.

Beliau juga menjelaskan bahawa Hari Renjer Sedunia merupakan satu peluang untuk mereka menunjukkan tanda sokongan dan penghargaan kepada para renjer yang telah sedaya-upaya mengerah tenaga mereka dalam mencapai matlamat melindungi alam semulajadi.

Selain daripada merayakan Hari Renjer Sedunia, program Bulan Renjer Muda Taman 2021 juga bertujuan memberi peluang kepada generasi muda, khususnya pelajar di Sabah untuk bersama-sama dalam usaha pemeliharaan khazanah alam semulajadi dengan menjadi Renjer Muda Taman-Taman Sabah.

Manakala, Renjer Muda Taman-Taman Sabah merupakan satu program pendidikan yang dirangka khusus bagi membolehkan para pelajar menimba ilmu pengetahuan mengenai khazanah alam semulajadi dan seterusnya berperanan sebagai duta Taman-Taman Sabah dalam menyebarkan pengetahuan alam dan membantu Taman bagi menimbulkan kesedaran kepada orang awam mengenai kepentingan menjaga alam semulajadi.

Lazimnya, program pendidikan Taman-Taman Sabah akan dilaksanakan secara fizikal di dalam kawasan Taman dengan pengisian aktiviti luar yang menarik.

“Namun kini, pandemic Covid-19 telah memberi kesan dan menghadkan penganjuran aktiviti pendidikan secara fizikal. Walaubagaimanapun, situasi ini tidak mematahkan semangat kami, malah program pendidikan akan diteruskan dengan amalan norma baharu,”tambahnya.

Justeru, selaras dengan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan di seluruh Negeri Sabah, semua aktiviti Bulan Renjer Muda Taman 2021 akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian iaitu bertemakan “Memupuk Kesedaran Pemimpin Muda / Taman Sihat, Minda Sihat”.

Antara aktiviti yang akan dijalankan sepanjang program ini adalah Pertandingan bercerita, Pertandingan Mencipta dan mendeklamasi Sajak serta Pertandingan Mencipta logo Renjer Muda Taman.

“Selain pertandingan tersebut, buat julung-julung kalinya Taman-Taman Sabah akan mengadakan Webinar Renjer Muda Taman khas untuk pelajar sekolah di Negeri Sabah.

“Sebanyak 4 siri webinar bertajuk Saya Renjer Muda Taman – (1) Pemulihara Hutan, (2) Pelindung Hidupan Lair dan Spesis Terancam, (3) Penjelajah Lautan dan (4) Pengembara Sungai akan dianjurkan pada setiap hari sabtu sepanjang bulan Julai 2021.

“Saya menyeru kepada semua ibu bapa dan guru-guru untuk mengambil peluang ini dengan mendaftarkan anak-anak anda sebagai Renjer Muda Taman dan seterusnya menyertai semua aktiviti yang telah disediakan sepanjang bulan Julai 2021,”katanya.

Majlis pelancaran secara maya tersebut dihadiri oleh ahli jawatankuasa pelaksana Taman-Taman Sabah, ibubapa, guru dan pelajar.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *