Kerajaan Sabah Bangga Pencapaian Keputusan Cemerlang Calon STPM 2020

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 2 Second

KOTA KINABALU : Kerajaan negeri merakamkan penghargaan kepada semua calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2020 di Sabah yang berjaya mencapai prestasi cemerlang dan membanggakan dalam peperiksaan itu.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, seramai 7,330 orang calon STPM tahun lalu berjaya mendapat Lulus Penuh berbanding 6,956 orang pada tahun 2019.

“Gred Purata Nilai Keseluruhan (GPNK) Negeri Sabah, pada tahun 2020 adalah sebanyak 2.71 berbanding 2.67 pada tahun 2019. Ini menunjukkan peningkatan sebanyak 0.04 mata gred.

“Manakala perbezaan GPNK antara Negeri dan Negara adalah sebanyak 0.07 mata gred pada tahun 2020 berbanding 0.10 pada tahun 2019 menunjukkan perbezaan GPNK semakin mengecil,”katanya.

Beliau berkata dalam sidang media bersama Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Datuk Dr. Mistirine Radin di Wisma Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) disini hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Tugas-Tugas Khas di Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas, Sapdin Ibrahim.

Mohd Arifin berkata, meskipun negara masih menghadapi pandemik COVID-19 namun semua calon STPM 2020 berjaya memperoleh keputusan cemerlang.

“Ini merupakan tahun keempat berturut-turut calon STPM dari Sabah mencatat prestasi cemerlang dengan peratus kelulusan terus meningkat. Syabas dan tahniah juga kepada Pengarah Pendidikan Sabah dan pegawai-pegawainya, guru-guru, petugas peperiksaan kerana berjaya memperkasa pendidikan di Sabah.

“Pelajar Sabah juga cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020,” katanya.

Katanya, calon STPM terbaik bagi negeri Sabah ialah Azizul Rashid dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putatan yang memperoleh 5A dan sebanyak 58 buah sekolah mencapai kelulusan 100%  pada tahun 2020.  

10 buah sekolah terbaik bagi kategori jumlah calon dari 01 hingga 49 orang ialah SMK Agama Limauan (Kimanis), SMK Agama Kota Kinabalu, SMK Kota Klias Beaufort, SMK Segama Lahad Datu, SMK Sindumin (Sipitang), SMK Kunak Jaya (Kunak), SMK Merotai (Tawau), SM Agama Mohamad Ali (Ranau), SMK Membakut dan SMK Madai (Kunak).

10 sekolah terbaik kategori jumlah calon 50 hingga 99 orang terdiri daripada Maktab Sabah (Kota Kinabalu), SMK Majakir (Papar), SMK Sepagaya (Lahad Datu),  SMK Sandakan II (Sandakan), SMK Lohan (Ranau), SMK Pengiran Omar (Sipitang),  SMK Datuk Panglima Abdullah (Semporna),  Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, SMK Takis (Papar) dan SMK Beluran.

Manakala 10 sekolah terbaik bagi kategori jumlah calon 100 dan keatas ialah SMK Tamparuli (Tuaran), SMK Elopura II (Sandakan), SMK Putatan, SMK Bugaya (Semporna), Kolej Tingkatan 6 (KK B Sabah), SMK Limbanak (Penampang), SMK Nabawan, Kolej Tingkatan 6 Tawau (B), Kolej Tingkatan 6 Tawau (C) dan SMK Muhibbah (Sandakan).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *