HomeUtamaCOVID-19 : Labuan Dijangka Capai Imuniti Kelompok Pertama Di Malaysia Sebelum Akhir...

COVID-19 : Labuan Dijangka Capai Imuniti Kelompok Pertama Di Malaysia Sebelum Akhir Julai Ini

Read Time:1 Minute, 55 Second

LABUAN: Wilayah Persekutuan Labuan dijangka akan menjadi kawasan pertama mencapai imuniti kelompok di negara ini apabila sasaran 80 peratus penduduk lengkap menerima dua dos vaksin COVID-19 tercapai sebelum akhir Julai ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Labuan, Dr Ismuni Bohari berkata, sehingga kini lebih 80 peratus penduduk di Labuan sudah menerima sekurang-kurangnya suntikan dos pertama vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) sehingga semalam.

“Berdasarkan pencapaian ini, kami yakin sasaran untuk mencapai imuniti kelompok vaksin COVID-19 sebelum Ogos depan mampu dicapai.

“Sehingga semalam, kita sudah mencapai 81.2 peratus populasi Labuan berumur 18 tahun ke atas yang mendapat sekurang-kurangnya dos pertama vaksin COVID-19 dan kita sasarkan jumlah itu akan mendekati angka 100 peratus atau lebih 90 peratus daripada populasi Labuan dalam masa terdekat,”katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu di Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan (UMSKAL), di sini, pagi tadi.

Hadir sama Pengarah UMSKAL, Prof Dr Jualang Azlan Gansau; Ketua Polis Labuan, Superintendan Ahmad Jawila; Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Labuan, Mohd Hafiez Daud dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Labuan, Rithuan Ismail.

Ismuni berkata, pihaknya juga yakin sasaran lebih 80 peratus populasi lengkap dua vaksin akan dapat dicapai dalam masa dua minggu lagi.

Katanya, pihaknya juga mensasarkan semua penduduk Labuan akan divaksin untuk melihat kesannya kepada masyarakat, khususnya dalam usaha membendung penularan COVID-19 di negara ini.

Sementara itu, Ismuni berkata, kemudahan PPV Pandu Lalu di UMSKAL itu merupakan PPV ketujuh di Labuan dan yang pertama disediakan bagi tujuan pemberian suntikan secara pandu lalu bagi memudahkan penerima vaksin.

Katanya, PPV Pandu lalu itu hanya disediakan untuk penerima suntikan dos kedua sebagai pilihan kepada penduduk Labuan yang sudah menerima dos pertama bagi melengkapkan imunisasi COVID-19.

“Bagi pihak jabatan dan JPBD Labuan merakamkan penghargaan kepada UMS yang membenarkan kita menggunakan fasilitinya untuk PPV secara pandu lalu agar pemberian vaksin lebih teratur agar sasaran 80 peratus penduduk di pulau ini divaksin sebelum Ogos.

“Kemudahan ini dapat mengurangkan kesesakan di PPV sedia ada dan memudahkan penduduk Labuan untuk melengkapkan imunisasi dos kedua,”katanya.

Dalam pada itu, Jualang berkata seramai 20 petugas kesihatan termasuk dua Jururawat Klinik Rawatan Warga UMSKAL selain beberapa lagi sukarelawan MyVac dan komuniti membantu menjayakan PPV Pandu Lalu itu dengan kapasiti pemberian vaksin antara 800 hingga 1,000 orang sehari.

RELATED ARTICLES
Utama

Juliah santuni anak-anak istimewa PPDK Tuaran

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya