PPN : KK,Putatan & Penampang Kembali Menjadi Satu Daerah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 28 Second

KOTA KINABALU: Beberapa Prosedur Standard Operasi (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Kedua bagi negeri Sabah yang bermula hari ini khususnya yang melibatkan aktiviti ekonomi menjadi tanda tanya pelbagai pihak.

SOP yang dikeluarkan khususnya operasi melibatkan restoran, café, kedai makan, gerai makan, kenderaan bersaji(foodtruck) ,penjaja tepi jalan, penjaja beredar, medan selera, pusat penjaja, gerai makan tepi jalan, atau kiosk dibenarkan beroperasi antara jam 6 pagi hingga 9 malam.

Meskipun dibenarkan beroperasi, SOP berkenaan menyatakan hanya secara bawa pulang, pandu lalu atau penghantaran dan tidak menyatakan larangan ‘Dine-In’dan perkhidmatan ‘Park & Dine’.

Jurucakap rasmi COVID-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kerajaan Sabah sebelum ini telah mengumumkan kebenaran ‘Dine-In’ berdasarkan pengumuman Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 28 Jun lalu.

“Makan dalam restoran atau ‘dine-in’ sepatutnya hanya dibenarkan dalam Fasa Ketiga PPN, Buat masa ini Sabah berada Fasa Kedua PPN.

“Ia tidak disentuh dalam SOP kerana kerajaan negeri Sabah telahpun membenarkan ‘Dine-in’.  Ini bermakna ‘Dine-in’ tidak dilarang di Sabah,” katanya ringkas kepada Sabah Media disini hari ini.

Sebelum ini, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Kota Kinabalu; Keningau; Sandakan dan beberapa daerah lain telah membenarkan ‘Dine-In’ berdasarkan pengumuman Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 28 Jun lalu.

Beberapa perkara lain turut dinyatakan pada SOP PPN Fasa Kedua Sabah antaranya daerah Kota Kinabalu; Putatan dan Penampang dikategorikan sebagai satu daerah.

Sebelum ini, pihak Polis telah menghentikan sekatan jalan raya (SJR) di tiga daerah ini bermula Isnin lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, keputusan itu dibuat berikutan pemerhatian pasukan itu sejak dua minggu lalu mengenai pergerakan lalu lintas.

“Pemerhatian kami menunjukkan bahawa kebanyakkan mereka yang menggunakan jalan raya di daerah ini adalah benar-benar pekerja dan orang yang keluar untuk urusan penting,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *