COVID-19 : Beaufort & Kota Kinabalu Dominasi Peningkatan Kes Positif Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU : Dua daerah di Sabah mendominasi jumlah peningkatan kes positif COVID-19 apabila menyumbang sebanyak 48.3 peratus daripada jumlah kes di Sabah hari ini iaitu Beaufort dan Kota Kinabalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kes positif yang direkodkan hari ini adalah sebanyak 271 kes mencatat peningkatan 20 kes berbanding 251 kes semalam.

“Dari jumlah kes yang direkodkan di Sabah hari ini, Beaufort merekodkan sebanyak 70 kes yang berpunca daripada saringan kontak rapat iaitu sebanyak 51 kes; saringan Kluster Lumadan (10 kes) dan saringan bergejala (9 kes).

“Bagi daerah Kota Kinabalu, sebanyak 61 kes direkodkan hari ini berbanding 82 kes semalam dengan penurunan 21 kes,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Masidi berkata, dari jumlah yang direkodkan di Kota Kinabalu, 26 kes adalah hasil saringan kontak rapat; saringan bergejala (11 kes); saringan bersasar dua kes dan lain-lain saringan satu kes.

“Manakala sebanyak 18 kes adalah daripada saringan kluster iaitu Kluster Agora Borneo (10 kes), Kluster KKIP Empat Timur (4 kes), Kluster Kayu Madang (3 kes) dan Kluster Tembok Kota Kinabalu satu kes.

“Selain itu, turut mempengaruhi jumlah kes pada hari ini ialah melalui saringan kontak rapat yang merekodkan sejumlah 145 kes di seluruh Sabah,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh adalah sebanyak 245 menjadikan jumlah kumulatif 69,351 orang.

Katanya, seramai 1,911 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 393 orang di hospital, 1,501 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 17 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara.

“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 52 orang dan 17 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan (ventilated),” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *