“Sumbangan Ini Dapat Bantu Kami Bina Semula Rumah Baharu,” Penerima Bantuan MUIS

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Mangsa kebakaran di Kampung Tanjung Aru pada Mei lalu menarik nafas lega apabila menerima bantuan berupa kewangan yang disalurkan Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS).

Salah seorang mangsa, Nurcahaya Gumbor berkata, meskipun masih bersedih akibat kehilangan tempat tinggal dalam kebakaran pada 25 Mei lalu namun sumbangan yang diterima mampu membantu meringankan beban harian termasuk membina rumah baharu.

“Syukur dan terima kasih atas sumbangan yang disalurkan kerajaan negeri melalui MUIS walaupun kejadian itu sudah sebulan berlaku.

“Sumbangan ini juga sedikit sebanyak dapat membantu kami membina semula rumah yang musnah dalam kejadian kebakaran yang memusnahkan hampir lebih 20 buah rumah,” katanya.

Nurcahaya berkata demikian selepas menerima sumbangan berupa kewangan daripada MUIS yang disampaikan Menteri Tugas-Tugas Khas Datuk Mohd Arifin Mohd Arif.

Bagi seorang lagi penerima Hazlan Ab Rahman berkata, beliau merakamkan penghargaan kepada pihak kerajaan khususnya MUIS dalam menyalurkan sumbangan kepada mangsa kebakaran yang terlibat.

“Ketika ini saya masih lagi menyewa dan sedang dalam proses membina rumah.  Dari segi bantuan yang diterima, syukur semua mencukupi,” katanya.

Terdahulu, Mohd Arifin berkata, lebih 50 keluarga mangsa kebakaran yang terlibat di kampung berkenaan menerima sumbangan berupa kewangan daripada Bahagian Zakat MUIS.

“Semoga dengan bantuan ini akan dapat mengurangkan beban mereka khususnya sebelum menjelang Aidiladha. 

“Bagi pihak MUIS saya merakamkan penghargaan kepada Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Aru dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kerana dapat membantu menyelaras data nama dan senarai mereka yang terlibat dalam kebakaran ini,”katanya.

Katanya, mangsa kebakaran yang berlaku pada awal Julai ini juga akan turut diberikan bantuan dan sedang diuruskan oleh UPPM Tanjung Aru.

Tambahnya, selain mangsa kebakaran di Tanjung Aru, bantuan sama juga akan disalurkan kepada mangsa kebakaran yang berlaku di Semporna baru-baru ini melibatkan 10 buah keluarga Ketua Isi Rumah (KIR).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *