Bekalan Vaksin Kurang Perlu Ditangani Segera, Elak Keyakinan Rakyat Hilang – Maximus

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 7 Second

KOTA MARUDU : Kekurangan bekalan vaksin yang disalurkan ke daerah ini bagi menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) dikhuatiri akan menyebabkan keyakinan rakyat akan hilang bagi mendapatkan vaksinasi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili berkata, bekalan yang disalurkan sering tidak mencukupi menyebabkan temu janji penduduk yang mendapatkan vaksin terpaksa ditunda.

“Saya bimbang,bekalan vaksin untuk penduduk disini tidak mencukupi.  Saya difahamkan ada penduduk telah sampai ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) namun terpaksa ditunda temujanji mereka.

“Perkara ini tidak seharusnya terjadi khususnya bagi masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman, kita juga risau mereka tidak mahu datang pada temujanji akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas majlis pelepasan (flag off) Program Outreach Vaksinasi COVID-19 Siri Kedua ke kawasan perbukitan Magandai, Kota Marudu, disini hari ini.

Maximus berkata, pihaknya mahu masalah kekurangan bekalan vaksin di negeri ini khususnya di daerah ini dapat diatasi dengan segera.

“Saya turut difahamkan masalah ini bukan sahaja di daerah ini namun di daerah lain juga mengalami masalah sama termasuk di negeri Sarawak.

“Saya telah memaklumkan perkara ini kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba agar masalah ini dapat diselesaikan dalam kadar yang segera,” katanya.

Beliau turut menyeru kepada yang pihak berkaitan agar dapat memastikan bekalan vaksin di Sabah dan Sarawak mencukupi serta konsisten.

Sementara itu, Maximus yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu berkata, kerajaan telah melakukan yang terbaik dan komited dalam usaha pemberian vaksin kepada seluruh rakyat Malaysia menerusi PICK.

Katanya, usaha melalui program jangkauan luar turut diyakini mampu mempercepatkan lagi pemberian vaksin kepada seluruh rakyat di negara ini termasuk di pedalaman yang sukar untuk ke kawasan bandar.

“Buktinya, Malaysia berjaya mencapai kadar vaksinasi COVID-19 melebihi 300,000 dos sehari. Namun, saya percaya Sabah dan Sarawak juga mampu mencapai angka harian seperti ini sekiranya tidak ada masalah lain seperti kekurangan bekalan vaksin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ongkili berkata, daerah Kota Marudu mempunyai populasi lebih 50,000 penduduk dimana hanya 27,598 orang (iaitu 55 peratus) telah mendaftar bagi mendapatkan suntikan vaksin.

“Di daerah Kota Marudu sahaja sejumlah 7,899 individu telah menerima suntikan dos pertama dan 5,408 individu telah menerima suntikan dos kedua, manakala di daerah Matunggong, seramai 1,060 individu menerima dos pertama dan 1,052 telah menerima dos kedua vaksin.

“Saya menghargai kerjasama dan komitmen seluruh warga di kawasan Parlimen Kota Marudu yang telah mendapatkan suntikan vaksin Covid-19 ini. Saya melihat sambutan rakyat kepada usaha kerajaan kini begitu memberangsangkan walaupun pada awalnya sambutan agak perlahan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *