221 KIR Mangsa Kebakaran Terima Sumbangan Himpunan Masjid & Surau

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 24 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 221 Ketua Isi Rumah (KIR) membabitkan mangsa kebakaran Kampung Meruntum Putatan dan Kampung Tanjung Aru menerima sumbangan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS).

Sumbangan menerusi Himpunan Masjid dan Surau seluruh Sabah itu merupakan inisiatif JHEAINS yang telah mewujudkan tabung khas bagi membantu golongan masyarakat yang mengalami musibah seperti insiden kebakaran.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, inisiatif ini akan diteruskan oleh pihak JHEAINS selepas menerima maklum balas yang positif daripada jemaah masjid dan surau di seluruh negeri bagi menyalurkan sumbangan.

“Pada hari ini saya hadir menyaksikan penyerahan sumbangan Himpunan Masjid dan Surau seluruh Sabah berjumlah RM77,841.94 yang diserahkan melalui Pejabat Daerah Putatan dan Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Tanjung Aru.

“Daripada jumlah itu, sebanyak RM45,368.48 diserahkan kepada mangsa kebakaran di Kampung Meruntum membabitkan 53 KIR manakala selebihnya RM32,473.46 diagihkan kepada mangsa kebakaran (168 KIR) di Kampung Tanjung Aru,” katanya ketika dihubungi Sabah Media disini hari ini.

Terdahulu, Mohd Arifin hadir menyaksikan penyerahan ‘Mock Cheque’ sumbangan Himpunan Masjid dan Surau yang disampaikan oleh Pengarah JHEAINS Datuk Saifulzaman @ Setibin Sangul kepada Pegawai Daerah Putatan Zainuddin Awang dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Aru Mohd Reduan Datuk Aklee di Balai Raya Tanjung Aru disini petang tadi.

Mohd Arifin berkata, pewujudkan tabung khas yang dilaksanakan disemua masjid dan surau diseluruh Sabah itu telah berjaya melaksanakan sumbangan sama kepada Tabung Gaza selain sumbangan kepada dua kampung terbabit.

“JHEAINS akan meneruskan usaha seumpama ini dan akan memperluaskan skop bantuan dalam bentuk kebajikan dan sumbangan lain.

“Saya berharap sumbangan seumpama ini akan dapat membantu meringankan beban mangsa terlibat khususnya dalam membuat persediaan bagi menyambut Aidiladha pada esok hari,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *