HomeIsu tempatan50 Mangsa Kebakaran DI Tanjung Aru Dipindahkan Ke PPS

50 Mangsa Kebakaran DI Tanjung Aru Dipindahkan Ke PPS

Read Time:1 Minute, 44 Second

BERNAMA

KOTA KINABALU — Seramai 50 orang mangsa dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) sehingga pukul 8 malam ini susulan kejadian kebakaran yang memusnahkan 23 buah rumah jenis tidak kekal yang dibina atas air di Kampung Tanjung Aru Baru di sini, pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan malam ini memaklumkan mangsa yang terdiri daripada 13 keluarga itu dipindahkan ke PPS Dewan Luyang di sini.

Menurut kenyataan itu jawatankuasa berkenaan bersama Angkatan Pertahanan Awam dan pihak terlibat sedang mengemas kini data mangsa bagi melancarkan pengurusan penyaluran bantuan berikutan masih terdapat beberapa mangsa sedang mendaftar di PPS berkenaan malam ini.

Kenyataan itu turut memaklumkan 39 mangsa daripada 13 keluarga yang terlibat dalam kebekaran di kampung sama pada 6 Julai lepas, masih ditempatkan di PPS Dewan Sembulan.

Kebakaran pada 4.32 pagi hari ini merupakan kejadian ketiga berlaku dalam tempoh singkat di kampung itu, dengan kejadian pertama pada 6 Julai lepas yang mengakibatkan 10 rumah musnah manakala 33 rumah musnah dalam kejadian pada 25 Mei lepas.

Sementara itu mangsa kebakaran, Junaidi Elyas, 41, berkata dia mengetahui tentang kejadian itu apabila jirannya mengetuk pintu rumahnya dengan kuat dan memberitahu supaya segera keluar menyelamatkan diri bersama keluarga.

“Saya terus tarik dua anak saya (berusia lapan dan 12 tahun) keluar rumah dan beritahu isteri cepat ikut sekali, kemudian saya patah balik ambil dokumen penting dan barang-barang kecil, itu sahaja dapat diselamatkan, barangan lain semua terbakar,” katanya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pasar raya di sini.

Suri rumah, Norasmah Sani, 63, pula berkata dia sedar mengenai kebakaran itu apabila terdengar jiran-jiran kecoh berteriak, dan ketika membuka jendela, dia melihat api sudah marak di rumah jiran tidak jauh dari rumahnya.

“Saya terus beritahu suami dan kami bergegas keluar dari rumah, sempat juga selamatkan barang elektrik dan barangan berharga, tetapi rumah hangus terbakar…memang sedih kerana Aidiladha pun tidak lama lagi, harap dapat bantuan segera untuk bantu kami di sini,” katanya.

— BERNAMA

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

NDRC UMS perkukuh pengurusan bencana bersama pihak berkuasa tempatan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular