COVID-19 : Kluster Penjara Terus Dominasi Jumlah Kes Positif Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 37 Second

KOTA KINABALU: Saringan kluster yang didominasi oleh ‘Kluster Penjara’ terus merekodkan jumlah kes yang tinggi bagi tempoh empat hari di negeri ini selain kes yang diperolehi dari saringan kontak rapat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, Sabah merekodkan sebanyak 657 kes hari ini dengan peningkatan enam kes berbanding 651 kes semalam.

“Daripada keseluruhan jumlah kes pada hari ini, sebanyak 317 kes adalah daripada saringan kluster yang didominasi oleh ‘kluster penjara’ iaitu sebanyak 245 kes atau 37.3 peratus daripada kumulatif kes harian.

“Di Kota Kinabalu sebanyak 131 kes atau 53 peratus daripada kes baharu adalah daripada Kluster Tembok Kota Kinabalu (Penjara Kepayan) dan bagi Tawau sebanyak 114 kes atau 84 peratus daripada kes baharu adalah Kluster Tembok Tawau Dua (Penjara Tawau),” katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Masidi berkata, turut menyumbang kepada jumlah kes adalah daripada saringan kontak rapat iaitu sebanyak 199 kes atau 30.3 peratus.

Katanya, kedua-dua saringan ini iaitu saringan kluster dan saringan kontak rapat membawa kepada 78.5 peratus atau 516 dari kumulatif harian.

“Antara penyumbang baharu kes positif COVID-19 hari ini adalah dari kluster Kampung Pukak, Tuaran yang melibatkan sembilan 9 kes.

“Kluster ini berpunca daripada satu aktiviti kenduri kesyukuran yang dihadiri oleh keluarga terdekat di rumah kes indeks dan merupakan kluster komuniti,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, sebanyak 387 kes atau 58.9 peratus  pesakit positif berada dalam kategori tahap satu (tidak bergejala) dan 33.5 peratus atau 220 kes dalam kategori tahap dua (bergejala tanpa radang paru-paru).

Katanya, hanya satu  pesakit berada dalam kategori tahap tiga dan satu orang dalam kategori empat.

“Seramai 48 pesakit atau 7.3 peratus masih menunggu penilaian kategori tahap pengkelasan mereka,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, bilangan kes positif COVID-19 hari ini diperolehi melalui saringan kontak rapat seramai 199 kes; saringan kluster (317 kes); saringan bergejala (71 kes); saringan bersasar (47 kes) dan saringan lain-lain kes (23 kes).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *