COVID-19 : Penularan Jangkitan Tempat Kerja Cetus Tiga Kluster Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Penularan jangkitan COVID-19 di tempat kerja mencetuskan tiga lagi kluster baharu selain satu kluster membabitkan komuniti direkodkan di Sabah hari ini.

Antara kluster membabitkan tempat kerja ialah Kluster Jalan Penampang; Kluster Jeti Kudat dan Kluster Industri Kolombong manakala bagi kluster komuniti pula adalah Kluster Inderasabah Tawau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, kes indeks bagi Kluster Jalan Penampang merupakan juruwang wang berusia 25 tahun yang disahkan positif COVID-19 pada 26 Julai melalui saringan bergejala dengan keputusan RTK-Ag grading 29%.

Katanya, kes ini melibatkan pekerja-pekerja di sebuah pasaraya besar di Jalan Penampang, Pekan Koidupan.

“Saringan kontak rapat mendapati 28 lagi kes positif masing-masing 10 kes dan 18 kes pada 27 Julai dan 26 Julai dalam kalangan rakan sekerja dan keluarga.

“Pertambahan angka tersebut menjadikan jumlah kumulatif kes positif bagi kluster ini ialah sebanyak 29 kes. Aktiviti pengesanan kontak rapat dan siasatan lanjut masih giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Masidi berkata, Kluster Jeti Kudat yang merebak di tempat kerja pada hari ini, menokok 11 kes baharu menjadikan jumlah kumulatif kes positif sebanyak 44 kes.

Katanya, kluster ini mula dikesan melalui saringan bergejala terhadap kes indeks wanita berusia 51 tahun yang juga peniaga bukan warganegara di Jeti Kudat disahkan positif COVID-19 dengan keputusan PCR dengan CT Value 22.66 di Hospital Kudat pada 15 Julai lalu.

“Berikutan pertambahan bilangan kes positif di Jeti Kudat, Pejabat Kesihatan Kawasan Kudat melakukan saringan bersasar ke atas semua individu yang terlibat dengan aktiviti perniagaan dan perusahaan ikan di daerah Kudat bermula 21 hingga 26 Julai.

“Sebanyak 237 sampel saringan bersasar diambil dalam tempoh berkenaan. Aktiviti pengesanan kontak rapat, disinfeksi dan kawalan penyebaran penyakit masih giat dijalankan,” katanya.

Dalam pada itu, Masidi berkata, bagi Kluster Industri Kolombong yang berlaku melibatkan gudang minyak masak di Kolombong.

Katanya, kes indeks bagi kluster ini adalah seorang pembantu pemandu lelaki berusia 26 tahun yang mula bergejala sejak 17 Julai sebelum disahkan positif COVID-19 dengan keputusan PCR dengan bacaan CT Value 24.7 di Klinik Kesihatan Penampang pada 19 Julai.

“Kes indeks juga telah dimasukkan ke PKRC untuk rawatan lanjut. Hasil saringan kontak, kluster ini merekodkan 23 kes positif secara kumulatif dengan mendaftarkan kes dengan kaitan epidemiologi di daerah lain.

“Bagi Kota Kinabalu lapan kes didaftarkan termasuk satu kes baharu hari ini, sementara Penampang 12 kes dan Tuaran dengan tiga kes. Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak-kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan,”katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, satu lagi kluster membabitkan penularan dalam komuniti iaitu Kluster Inderasabah yang berlaku di Mukim Balung Tawau.

Katanya, kes indeks adalah pekebun sawit, lelaki berusia 30 tahun telah disahkan positif (RTK-Ag grading 80%) pada 24 Julai lalu selepas bergejala sejak 14 Julai.

“Kes indeks yang bekerja sendiri tinggal di Kampung Darat, Inderasabah bersama dengan 13 ahli keluarga.

“Selain saringan kontak rapat, saringan kontak sosial juga dilakukan terhadap tiga kontak di Blok C, PPR Taman Sri Apas dan mendapati dua daripadanya adalah positif,” katanya.

Katanya, sehingga kini, 17 kontak telah disaring dan 14 daripadanya didapati positif termasuk 11 kes baharu.

“Siasatan lanjut untuk pengesanan kontak-kontak rapat sedang giat dijalankan dan punca jangkitan masih dalam siasatan,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *