COVID-19 : Tiga Kluster Melibatkan Jangkitan Dalam Komuniti & Tempat Kerja Direkodkan Di Keningau

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU : Sabah merekodkan tiga kluster baharu melibatkan penularan jangkitan COVID-19 dalam kalangan komuniti dan tempat kerja di daerah Keningau.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, antara kluster terlibat ialah Kluster Bayangan; Kluster Bariawa Laut dan Kluster Menawo Baitah.

“Kluster Bayangan melibatkan penularan dalam komuniti di Mukim Bingkor dan Luagan yang disyaki berpunca daripada perkumpulan keluarga dari luar daerah.

“Kes indeks merupakan lelaki berusia 38 tahun yang dikesan melalui saringan bergejala di Hospital Keningau dengan keputusan ujian RTK-Ag positif grading 20% pada 25 Julai lalu,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Masidi berkata, saringan kontak rapat bagi tempoh 25 hingga 27 Julai lalu menunjukkan pertambahan bilangan kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan kontak rapat kes indeks.

Katanya, sehingga kini kluster ini merekodkan jumlah kumulatif 21 kes positif termasuk tujuh kes baharu.

“Bagi Kluster Bariawa Laut pula mula dikesan apabila kes indeks, wanita berusia 36 tahun disahkan positif COVID-19 (RTK-Ag grading 100%) melalui saringan bergejala pada 25 Julai.

“Saringan kontak mengesan 13 kes termasuk lima kes baharu melibatkan kontak rapat dan kontak sosial daripada Mukim Patikang dan Kali di Daerah Keningau. Punca yang disyaki bagi penularan Kluster Bariawa Laut adalah perkumpulan keluarga,” katanya.

Sementara itu, Masidi berkata, Kluster Menawo Baitah pula dikategorikan sebagai kluster komuniti dan tempat kerja yang menular di Mukim Seberang, Lingkudau dan Luagan di Daerah Keningau serta Daerah Tambunan.

Katanya, ia disyaki berpunca daripada pergaulan sesama keluarga yang akhirnya tersebar kepada rakan-rakan.

“Kes indeks merupakan lelaki berusia 27 tahun dikesan positif COVID-19 (RTK-Ag grading 100%) hasil saringan tempat kerja di sebuah klinik swasta di Keningau pada 26 Julai lalu.

“Saringan kontak mendapati pertambahan bilangan kes positif dalam kalangan ahli keluarga dan kontak rapat di tempat kerja. Setakat hari ini, jumlah kumulatif kes positif kluster ini ialah sebanyak 16 kes termasuk 15 kes baharu,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *