COVID-19 : Lapan Kematian Direkodkan, Lebih 50 Peratus Kes Positif Disumbang Melalui Saringan Kontak Rapat Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 5 Second

KOTA KINABALU : Sebanyak lapan kes kematian direkodkan akibat COVID-19 di Sabah manakala lebih 50 peratus daripada jumlah keseluruhan kes harian positif COVID-19 yang dicatatkan hari ini disumbang melalui saringan kontak rapat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, saringan kontak rapat merekodkan sebanyak 439 kes atau 56.57 peratus daripada keseluruhan 776 kes harian di negeri ini.

“Ia diikuti dengan saringan bergejala sebanyak 153 kes atau 19.72 peratus dan saringan kluster sebanyak 74 kes atau 9.54 peratus.  Jumlah kes lain turut disumbang menerusi saringan lain-lain sebanyak 78 kes atau 10.05 peratus dan saringan bersasar sebanyak 32 kes atau 4.12 peratus.

“Hari ini juga sebanyak tiga kluster diisytiharkan di daerah Tawau iaitu Kluster Lahat-Lahat (Komuniti); Kluster Batu Keramat (Komuniti) dan Kluster Unipark (Tempat Kerja),” katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Masidi berkata, seluruh daerah di negeri Sabah mencatatkan perubahan angka kes positif COVID-19 yang terus meningkat.

Katanya, dengan jumlah catatan sebanyak 439 kes daripada saringan kontak rapat dapat disimpulkan masih terdapat kebarangkalian tinggi berlakunya aktiviti ketidakpatuhan SOP yang digariskan sungguhpun pelbagai seruan dan saranan telah dilakukan oleh pihak kerajaan.

“Pada hari ini juga sebanyak 24 daerah dikategorikan sebagai Zon Merah; dua daerah Zon Kuning dan satu daerah berada di Zon Jingga,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *