COVID-19: Penularan jangkitan dalam komuniti dan tempat kerja cetus 3 kluster baharu di Tawau

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 53 Second

KOTA KINABALU: Selepas Keningau, tiga lagi kluster baharu membabitkan penularan jangkitan COVID-19 di dalam kalangan komuniti dan tempat kerja direkodkan di daerah Tawau hari ini iaitu Kluster Batu Keramat, Kluster Unipark dan Kluster Lahat-Lahat.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, tiga kluster direkodkan di daerah Tawau iaitu Kluster Batu Keramat yang dikategorikan sebagai kluster komuniti menular ekoran sambutan Aidiladha.

“Kes indeks adalah lelaki, 77, disahkan positif COVID-19 hasil saringan bergejala di Hospital Tawau pada 24 Julai 2021,” kata Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Negeri dalam kenyataan media hari ini.

Katanya, saringan kontak rapat kemudiannya mengesan lima lagi kes positif dalam kalangan ahli keluarga.

Kes hasil saringan pengiring yang disahkan positif pada 26 Julai 2021 di Hospital Tawau mempunyai kaitan epidemiologi (epid link) dengan kes indeks.

Siasatan awal mendapati kes indeks dan keluarga telah berkumpul di Kg Tg Batu Keramat pada 20 Julai 2021 bagi menyambut perayaan aidiladha.

Setakat hari ini, seramai 25 kontak telah disaring dan 18 daripadanya didapati positif termasuk 10 kes baharu, manakala dua sampel lagi negatifdan lima sampel masih menunggu keputusan.

Manakala Kluster Unipark mula dikesan melalui saringan bergejala terhadap wanita, 39, di sebuah hospital swasta pada 19 Julai 2021.

Kes indeks yang juga Pengurus Cawangan Globinaco di Taman Unipark ini disahkan positif COVID-19 dengan keputusan RTK-Ag grading 100%. Saringan yang dijalankan ke atas 54 kontak mengesan 18 kes positif termasuk satu kes baharu hari ini.

Sementara itu Kluster Lahat-Lahat dipercayai menular dalam komuniti berikutan kenduri tahlil pada 19 Julai 2021 di Kg Lahat-Lahat.

Kes indeks adalah lelaki, 31, pembantu kedai makan di Selangor dan pulang ke Tawau pada 13 Julai 2021.

Menurut Masidi, Kes indeks yang dikuarantin di rumah di Kg Lahat-Lahat, Pulau Sebatik disahkan positif pada sampel hari ke-10 kemasukan dari luar Negeri Sabah melalui saringan Pintu Masuk Antarabangsa (Lapangan Terbang Tawau) dengan keputusan RT- PCR positif (CT value 24) di Klinik Kesihatan Tawau.

Setakat hari ini, 50 kontak telah disaring dan mengesan 20 kes positif termasuk satu kes baharu. Sementara itu, dua kontak didapati negatif manakala 28 lagi masih menunggu keputusan sampel kedua.

“Aktiviti pengesanan kontak masih dijalankan kerana kehadiran tetamu tidak direkodkan, malah jiran yang disaring mempunyai gejala dan berkait dengan kenduri tersebut,” jelasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *