Kerajaan Sabah Ambil Pendekatan Tingkatkan Kadar Vaksinasi, Pelaksanaan ‘Lockdown’ Bukan Kaedah Berkesan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 42 Second

KOTA KINABALU : Pelaksanaan ‘lockdown’ atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) secara menyeluruh bukan lagi kaedah berkesan bagi mengekang penularan COVID-19 pada masa kini dimana virus berkenaan sudah berada dalam komuniti.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, virus itu kini mudah dijangkiti dan ia dibuktikan menerusi saringan secara besar-besaran yang dilaksanakan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS).

“Kontak rapat sudah menjadi kumpulan tertinggi kes harian iaitu sebanyak 60 peratus pad hari ini dan kontak rapat ini pula ada jaringan dari kawan-kawan mereka sendiri (circle of friends).

“Ini mengakibatkan bilangan kes harian berganda, yakni kesan ‘multiplier effect’. Hasilnya bilangan positif baharu semakin naik kerana semakin luas medan saringan yang perlu dibuat oleh JKNS,” katanya kepada Sabah Media disini hari ini.

Masidi yang juga jurucakap rasmi COVID-19 Sabah berkata, kunci bagi melawan dan mengurus pandemik ini adalah melalui pematuhan standard operasi prosedur (SOP) dan meningkatkan kadar vaksinasi dikalangan penduduk.

Katanya, kapasiti JKNS untuk memberi vaksin kini sudah sampai sehingga 50,000 dos vaksin sehari dan akan dipertingkatkan sehingga 60,000 dos sehari bergantung kepada stok vaksin yang diterima.

“Rakyat kini sudah agak lesu dalam keadaan ‘terkurung’ dan pematuhan SOP secara menyeluruh akan membantu kita mengelak daripada dijangkiti. Vaksinasi juga memberi kita ‘kekebalan’ daripada jangkitan virus sehingga 90 peratus.

“Kita masih boleh dijangkiti tetapi kesannya ringan (mild) dan tidak memerlukan rawatan hingga masuk ke hospital. Ini adalah antara pendekatan kerajaan Sabah bagi menangani pandemik COVID-19 di negeri ini,” katanya.

Katanya, peningkatan kadar vaksinasi dikalangan penduduk Sabah bagi membolehkan kita mencapai kelompok imuniti dan penguatkuasaan pematuhan SOP secara menyeluruh terbukti lebih berkesan menurunkan jumlah jangkitan setiap hari

Menurutnya, pendekatan ini sudah terbukti berkesan ditempat lain dan apa yang perlu kini adalah bekalan vaksin yang mencukupi dan jadual penghantaran yang tidak terganggu.

“Bagi saya pelaksanaan ‘lockdown’ semata-mata tidak akan menyelesaikan masalah kes jangkitan yang semakin bertambah.

“Ia adalah sekadar satu kaedah dan bukan satu-satunya jalan keluar daripada jangkitan yang bertambah. Dulu kita tidak ada pilihan lain selain daripada ‘lockdown’ kerana vaksin pada ketika itu belum ada,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *