HomeIsu tempatanSMK Labuan sedia kemudahan peranti dan data internet bantu pelajar kurang mampu...

SMK Labuan sedia kemudahan peranti dan data internet bantu pelajar kurang mampu ikuti PdPR

Read Time:1 Minute, 55 Second

LABUAN: Menyedari peranti dan data internet penting untuk aktiviti Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan, di sini mengambil inisiatif membantu pelajar tidak berkemampuan mendapatkan kedua-dua kemudahan itu.

Inisiatif dikenali Program Pinjaman Peranti dan Bantuan Top Up (Proper Top) SMK Labuan itu dijayakan dengan kerjasama guru dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah berkenaan.

Pengetua SMK Labuan, Ismail Abdullah berkata, program itu adalah antara usaha pihak sekolah untuk memastikan pelajar yang berdepan masalah peranti dan membeli data internet dibantu supaya dapat mengikuti aktiviti PdPR secara dalam talian atau maya.

“Sasaran program ini adalah untuk membantu pelajar yang sangat memerlukan kemudahan peranti dan data internet untuk membolehkan mereka mengikuti aktiviti PdPR memandangkan kaedah itu diteruskan hingga 30 Ogos depan,” katanya.

Namun, pemilihan pelajar untuk menerima kemudahan berkenaan adalah berdasarkan penelitian guru kelas, Unit Kebajikan Murid dan Unit Hal Ehwal Murid (HEM) dengan keutamaan kepada pelajar yang tercicir aktiviti PdPR berikutan ketiadaan peranti dan data internet.

Bagaimanapun, kemudahan peranti yang disediakan hanya sebagai pinjaman berdasarkan tempoh pelaksanaan PdPR atau sehingga keluarga pelajar dapat membeli peranti sendiri dan perlu dikembalikan kepada Unit Kebajikan Murid setelah selesai tempoh pinjaman.

“Top up data internet pula diberi kepada pelajar yang sangat memerlukan untuk membolehkan mereka mengikuti PdPR. Nilai top up adalah berdasarkan keperluan untuk mengikuti PdPR sahaja.

“Bantuan top up ini juga hanya akan diteruskan kepada murid yang mengikuti PdPR secara konsisten dan rajin. Ia akan diberikan berdasarkan senarai yang disediakan guru kelas dengan bilangan pelajar yang menerimanya mungkin bertambah dari semasa ke semasa bergantung kepada maklumat guru kelas,” jelasnya.

Ismail berkata, peranti yang disediakan untuk program itu adalah telefon pintar Samsung Galaxy A02 (3GB RAM + 32GB Memory) atau jenama dengan spesifikasi yang setaraf sumbangan ikhlas guru dan kakitangan serta PIBG SMK Labuan.

Setakat ini seramai dua pelajar tingkatan dua menerima kemudahan peranti, manakala 46 orang daripada 1,776 pelajar tingkatan satu hingga enam sekolah berkenaan menerima bantuan top up data internet.

Satu majlis ringkas mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk penyerahan peranti dan bantuan top up diadakan pada 25 Julai lalu dengan disaksikan Ismail; Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Jamaliah Razali dan beberapa guru SMK Labuan.

“Program itu juga selaras dengan slogan SMK Labuan iaitu ‘Setiap Murid Bernilai’ dan slogan Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Labuan, ‘Guru Sayang Muridnya,” kata Ismail.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

Lebih 100 pengunjung meriahkan Christmas @ KK Sentral Riverside Market

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular