PICK : Pemberian Vaksin COVID-19 Di Sabah Dilandasan Terbaik, Mahu Bekalan Terus Dihantar Mengikut Jadual & Ditingkatkan

Read Time:59 Second

KOTA KINABALU: Pemberian vaksin COVID-19 kepada penerima di Sabah kini berada pada tahap terbaik apabila berjaya mencapai kadar pemberian sehingga lebih 40,000 dos vaksin sehari.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah itu membabitkan pemberian vaksin dos pertama dan kedua selain akan terus mempertingkatkan pemberian vaksin kepada penerima termasuk di luar bandar.

“Bagi tempoh 10 hari terakhir pada Julai lalu, kita telah menerima bekalan vaksin dengan kapasiti yang banyak.  Pencapaian harian tertinggi dalam pemberian vaksin ialah 48,300 dos vaksin pada 31 Julai lalu.

Statistik Pemberian Vaksin Sabah dari 1 Julai Sehingga 1 ogos 2021

“Justeru kita berharap bekalan vaksin akan terus diterima dan dihantar mengikut jadual dan jumlah yang banyak bagi bulan Ogos seperti yang dijanjikan sebelum ini kepada kerajaan Sabah,” katanya kepada Sabah Media disini hari ini.

Dalam pada itu, Masidi berkata, kerajaan akan terus berusaha meningkatkan kapasiti Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) dalam memberi vaksin kepada orang ramai.

Katanya, kerajaan juga akan terus mempertingkatkan lagi keupayaan pemberian vaksin sehingga melepasi 50,000 dos sehari.

“Kapasiti imunisasi yang maksimum serta bekalan vaksin yang tidak terputus akan membolehkan Sabah mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.