HomeIsu tempatanRasuah Tergolong Jenayah Takzir - Dr Sarip Adul

Rasuah Tergolong Jenayah Takzir – Dr Sarip Adul

Read Time:2 Minute, 33 Second

KOTA KINABALU: Agama Islam memandang serius terhadap isu rasuah yang dianggap sebagai jenayah takzir, iaitu berdosa besar kepada perlakunya kerana ia berkait rapat terhadap hubungan sesama manusia dan hubungan dengan Allah SWT.

Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi) Fakulti Pengajian Islam Universiti Malaysia Sabah (UMS), Dr Sarip Adul berkata setiap jawatan dan gelaran yang disandang tidak akan terlepas daripada kemungkinan terlibat dalam isu rasuah.

Menurut beliau lagi, manusia Allah ciptakan dengan memiliki nafsu. Nafsu menyebabkan manusia suka kepada harta, seks, jawatan tinggi dan keseronokan dunia yang lain. Selagi manusia memiliki nafsu, selagi itu ia akan diuji dari pelbagai sudut yang jika tidak mampu mengawal diri akan terjebak dalam jenayah rasuah.

“Hukum rasuah dianggap dalam Islam sebagai jenayah Takzir dan haram dalam apa bentuk sekalipun. Sama ada kita sebagai penjawat awam, pemimpin mahupun agamawan pasti tidak akan terlepas daripada kemungkinan terlibat rasuah”.

“Perkataan rasuah itu sendiri berasal daripada bahasa Arab iaitu al-rashwah, al-rishwah ataupun al-rushwah yang membawa maksud sesuatu suapan. Dalam pengertian yang dipetik daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) rasuah ialah pemberian ataupun penerimaan suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan, upah atau diskaun,” ujarnya.

Dr. Sarip berkata jenayah rasuah turut dilaknat oleh Allah S.W.T dan Rasulullah SAW. Kemudaratan besar yang tercetus daripada jenayah tersebut boleh menggugat pembangunan sesebuah negara dalam bidang ekonomi, politik dan sebagainya.

“Kesan rasuah mampu menghancurkan keadilan dalam sesebuah negara, melahirkan masyarakat yang tiada kemahiran dan mementingkan diri sendiri, menyebabkan pembahagian kekayaan yang tidak seimbang, pengurusan pentadbiran menjadi kucar-kacir dan kos pengurusan yang meningkat”.

“Jenayah rasuah tidak terhad kepada pemberi, tetapi juga kepada penerima rasuah dan orang perantara. Kesemua mereka termasuk dalam laknat Allah dan rasulNya. Oleh sebab itulah, rasuah ialah kemungkaran yang wajib dibanteras daripada kehidupan masyarakat sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam riwayat Muslim dan At-Tarmidzi yang bermaksud, barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran hendaklah mengubahnya dengan tangannya (kekuasaan),” jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam sebuah program Siri Ceramah Integriti dalam Islam bertajuk ‘Hukum Rasuah dalam Islam’ anjuran bersama Pusat Islam UMS (PIUMS), Kelab Suri rumah dan Staf Wanita UMS (KESUMBA) dan Persatuan Pegawai Pengurusan dan Profesional UMS.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar mendidik anak-anak mereka sedari kecil tentang keburukan rasuah agar apabila mereka dewasa kelak, mereka mampu menjadi individu yang tegas dan tidak berkompromi dalam jenayah itu.

“Dalam usaha untuk mencegah dan membendung jenayah rasuah, kita tidak boleh mengharapkan akta dan penguatkuasaan semata-mata. Tetapi, kita harus memupuk iman dalam diri dan mencari reda Allah SWT dalam setiap pekerjaan yang kita lakukan dengan penuh keikhlasan. Dengan adanya takwa dan keyakinan kepada Allah SWT, ia akan mampu menjauhkan diri kita daripada terlibat dalam kancah jenayah rasuah,” katanya.

Program ceramah itu diadakan secara dalam talian menerusi laman Facebook PIUMS yang disertai 120 peserta yang terdiri daripada kakitangan UMS, kakitangan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dan orang awam.

Turut serta dalam ceramah tersebut, Pengarah PIUMS Razali Saibin, Yang DiPertua KESUMBA, Datin Dr. Amalina Abdullah dan Presiden PPUMS, No’man Ahmad.

RELATED ARTICLES
Isu tempatan

80 peserta sertai Program Renjer Muda TTS

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya