Tokyo 2020: Pandelela Tempah Slot Ke Final 10m Platform

Read Time:1 Minute, 20 Second

BERNAMA

TOKYO, Ratu terjun negara Pandelela Rinong meneruskan misi memburu pingat di Sukan Olimpik Tokyo 2020 selepas mengesahkan tempat ke final acara 10 meter (m) platform wanita hari ini.

Penerjun berusia 28 tahun itu mengumpul 315.75 mata selepas melengkapkan lima terjunan untuk menduduki tempat ketujuh pada peringkat separuh akhir yang berlangsung di Pusat Akuatik Tokyo.

Pemenang pingat emas Piala Dunia 2021 itu fokus dalam setiap terjunan dilakukannya dengan mengutip 67.50; 59.45; 68.80; 57.60 dan 62.40 mata bagi memastikan beliau kekal berada dalam landasan memburu pingat Olimpik ketiganya.

Hanya 12 daripada 18 penerjun layak ke peringkat akhir yang dijadual berlangsung pada 3 petang waktu tempatan (2 petang waktu Malaysia) hari ini.

China terus mengungguli acara terjun menerusi Quan Hongchan dengan 415.65 mata, diikuti rakan senegara Chen Yuxi (407.75 mata) dan Delaney Schnell dari Amerika Syarikat di tempat ketiga (342.75 mata).

Semalam, atlet kelahiran Sarawak itu menamatkan saingan di tempat ke-18 dalam pusingan kelayakan selepas mengutip 284.90 mata manakala seorang lagi penerjun negara Cheong Jun Hoong terkandas selepas sekadar menduduki tempat ke-26 dengan 251.80 mata.

Pandelela menjadi harapan pingat buat kem terjun negara selepas hanya menduduki tempat kelapan dalam acara 10m platform seirama bergandingan dengan Leong Mun Yee pada 27 Julai, manakala Nur Dhabitah Sabri pula menduduki tempat keempat acara 3m papan anjal wanita.

Pandelela muncul atlet wanita Malaysia pertama berjaya meraih pingat di Olimpik selepas memenangi pingat gangsa acara 10m platform wanita pada edisi 2012 di London, sebelum menyumbang perak acara 10m platform seirama bersama Jun Hoong di Olimpik Rio 2016.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *