OLIMPIK: Muhammad Shah Firdaus Akan Sertai Perlumbaan Esok

Read Time:1 Minute, 0 Second

KUALA LUMPUR: Perkhabaran gembira buat seluruh rakyat Malaysia selepas pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom mengesahkan dia akan menyertai saingan suku akhir acara keirin di Sukan Olimpik 2020, esok.

Perkara itu dimaklumkan Shah Firdaus menerusi kenyataan ringkas pada akaun Insta Story miliknya, hari ini, sambil mengucapkan terima kasih kepada semua yang menyokong dan mengambil berat mengenai dirinya.

Pelumba berusia 25 tahun itu bagaimanapun meminta semua penyokong tidak menghukum mana-mana pelumba susulan kemalangan yang menimpanya ketika saringan kedua acara keirin di Velodrom Izu, hari ini.

“Alhamdulillah saya dalam keadaan baik. Terima kasih atas sokongan dan keperihatinan anda. Keputusan x-ray dan CT Scan (imbasan tomografi berkomputer) menunjukkan saya OK dan saya boleh menyertai perlumbaan esok.

“Kepada semua penyokong saya, tolong jangan menghukum mana-mana pelumba. Kemalangan terjadi di trek perlumbaan terutama dalam acara keirin.

“Namun, tiada siapa yang mahu menyebabkan kemalangan dengan sengaja, ia sebahagian daripada perlumbaan dan setiap orang mahu menang. Doakan untuk saya pulih dan saya akan cuba buat yang terbaik esok,” katanya.

Pelumba berbasikal trek Great Britain, Jack Carlin menjadi mangsa kecaman netizen Malaysia di media sosial selepas dia didakwa menjadi punca Shah Firdaus terbabit kemalangan dan terpaksa dikejarkan ke hospital selepas perlumbaan. BERITA HARIAN

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *