Rakan Strategik Jabatan Perikanan Malaysia Laksana CSR MAFI Prihatin Sasar Kumpulan Sektor Perikanan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 6 Second

PUTRAJAYA:Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) terus komited dalam menyokong Pelan Pemulihan Negara (PPN) melalui pelaksanaan Program MAFI Prihatin.

Program yang dirancang khusus bagi membantu golongan sasar yang terkesan akibat pandemik COVID-19 di samping menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik tersebut.

Pelaksanaan program itu melibatkan semua jabatan dan agensi di bawah MAFI dan telah diperkasakan lagi dengan penglibatan pihak swasta dan pemain industri sebagai rakan strategik selaras dengan pendekatan whole-of-nation yang menggembleng kerjasama seluruh anggota masyarakat dan kerajaan dalam usaha memerangi pandemik COVID-19.

Hari ini, Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee telah menyempurnakan simbolik penyerahan Program MAFI Prihatin ‘CSR Rakan Strategik Jabatan Perikanan Malaysia’ di perkarangan Wisma Tani, Putrajaya.

Seramai enam wakil daripada 11 Rakan Strategik Jabatan Perikanan Malaysia hadir menyerahkan bakul makanan sebagai simbolik sumbangan kepada Program MAFI Prihatin.

Hadir sama, Timbalan Menteri MAFI 1 Datuk Seri Ahmad Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI Datuk Badrul Hisham Mohd dan Ketua Pengarah Jabatan Perikanan Ahmad Tarmidizi Ramly.

Penglibatan rakan strategik dalam kalangan usahawan dan projek bimbingan Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) yang berminat untuk menyumbang adalah sebagai program Corporate Social Responsibility (CSR) syarikat.

Bakul makanan ini akan diserahkan kepada sebahagian kumpulan sasar sektor perikanan di seluruh negara.

Lokasi pertama program penyerahan bakul makanan MAFI Prihatin DOF akan diadakan di Pulau Tioman, Pahang yang melibatkan golongan sasar di pulau tersebut.

Program seterusnya akan dijalankan di Port Dickson, Negeri Sembilan; Gugusan Kepulauan Lima; Johor; Pulau Pinang; Pulau Redang dan Pulau Perhentian, Terengganu, Melaka dan Selangor.

Secara keseluruhan, sebanyak 630 bakul makanan akan diserahkan kepada kumpulan sasar sektor perikanan bagi pelaksanaan program MAFI Prihatin melalui DOF.

Sehingga kini, sebanyak 11 Rakan Strategik yang terdiri daripada 10 Agropreneur Perikanan dan satu Persatuan telah menyampaikan sumbangan bernilai RM34,500.00.

Program MAFI Prihatin yang dilancarkan sejak bulan Januari 2021 akan diteruskan melalui semua jabatan dan agensi di bawah MAFI serta dengan kerjasama strategik bersama pihak swasta khususnya pemain-pemain industri agromakanan bagi membolehkan lebih ramai lagi golongan sasar yang memerlukan mendapat manfaat dan menerima bantuan bagi meringankan beban.

Bantuan melalui MAFI Prihatin juga diberikan kepada golongan yang terkesan akibat banjir dan bencana alam yang lain serta kepada badan kebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang memerlukan.

Secara keseluruhannya, sejak 1 Jun 2021 hingga 8 Ogos 2021 sahaja, seramai 71,491 orang penerima di 400 buah lokasi seluruh negara telah menerima manfaat daripada bantuan MAFI Prihatin yang disampaikan melalui pelbagai jabatan dan agensi di bawah MAFI dengan nilai bantuan mencecah lebih RM5.4 juta.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *