13 Jabatan Dan Agensi Terima Anugerah Khas Maal Hijrah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 11 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 13 jabatan dan agensi kerajaan negeri serta Persekutuan yang bertindak sebagai barisan hadapan dalam membantu menangani pandemik COVID-19 di negeri ini, telah menerima Anugerah Khas Maal Hijrah 1443H/2021M sempena Maal Hijrah peringkat negeri Sabah pada Jumaat (13 Ogos 2021).

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor telah menyempurnakan penyampaian anugerah itu yang berlangsung di Dewan Bankuasi, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah (PPNS) di sini hari ini.

“Kerajaan negeri menzahirkan rasa terima kasih kepada semua barisan hadapan yang telah bertugas dan bertanggungjawab melaksanakan arahan kerajaan serta membantu rakyat semasa pandemik COVID-19 di Sabah, sejak lebih setahun lalu.

“Petugas barisan hadapan ini telah menjalankan tugas untuk mengatur, mengurus dan membantu kerajaan dalam melaksanakan apa jua tugasan untuk kebaikan serta kepentingan rakyat di negeri ini,” katanya selepas majlis penyampaian Anugerah Khas itu.

Bagi menghargai sumbangan daripada jabatan dan agensi terbabit, semua penerima anugerah ini menerima sijil penghargaan daripada kerajaan negeri Sabah dan wang tunai RM10,000.

Sebanyak 13 jabatan dan agensi yang menerima Anugerah Khas Maal Hijrah itu ialah Jabatan Ketua Menteri, Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah, Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) Negeri Sabah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), Jabatan Penyiaran Malaysia, Sabah, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) Sabah dan Persatuan Wartawan Sabah (SJA).

Turut hadir ialah Menteri Tugas-Tugas Khas, Datuk Haji Mohd Arifin Haji Mohd Arif; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Panglima Safar Untong; Yang Dipertua Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS), Datuk Yahya Hussin; Panglima Divisyen Kelima Infantri Mejar Jeneral Datuk Mohd Halim Khalid dan Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Dr Rose Nani Mudin.

Ketua Menteri juga untuk sekian kalinya meminta rakyat di negeri ini agar terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan dalam kehidupan seharian termasuk sentiasa menjaga kebersihan diri dan segera mendapatkan suntikan vaksin.

Hajiji juga berharap rakyat di mana saja berada terutama di kampung agar tidak mengadakan atau menghadiri apa-apa majlis keramaian atau sosial ketika pandemik ini.

“Jangkitan begitu mudah berlaku dan jika kita tidak mengikut SOP atau nasihat yang diberikan Kementerian Kesihatan. Inilah harapan saya kepada rakyat, patuhilah SOP dalam norma baharu ini,” katanya.

Sementara itu, setakat 11 Ogos 2021, seramai 1,227,628 atau 44.5 peratus penduduk Negeri Sabah berumur 18 tahun ke atas telah menerima 1 dos vaksin manakala dos 2 adalah seramai 529,090 atau 19.2 peratus.

Penerima vaksin ini adalah melalui pelbagai program termasuklah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK), mobile outreach dan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *