COVID-19: Jumlah Kes Kematian Masih Dua Angka Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 40 Second

KOTA KINABALU: Jumlah kes kematian akibat COVID-19 masih berada dua angka direkodkan di Sabah sejak beberapa hari kebelakangan ini.

Hari ini sahaja sebanyak 10 kes kematian dilaporkan iaitu lima kes di Kota Kinabalu, empat kes di Tawau dan satu kes di Keningau.

Ketua Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 1,752 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 103,437 kes.

Katanya, jumlah kes harian terus bertambah, Daerah Kota Kinabalu merekodkan tambahan kes baharu yang paling tinggi iaitu 85 kes, daripada 351 kes kepada 436 kes hari ini.

Manakala Tawau 261, Penampang 228, Sandakan 113, Tuaran 111, Keningau 100 kes (kekal), Papar 69 kes, Kota Belud 55 kes, Beaufort 54 kes, Lahad Datu 43, Putatan 40 kes, Sipitang 36 kes, Beluran 33 kes, Tambunan 16 kes, Kudat 18 kes dan Ranau 6 kes.

Menurut Masidi, Saringan Kontak Rapat terus menjadi penyumbang utama kepada jumlah kes baharu, iaitu 61% atau 1,063 kes dan Saringan Bergejala 31% atau 538 kes.

Masidi juga menegaskan bahawa jumlah kes melalui Saringan Bergejala yang tinggi adalah satu peringatan kepada masyarakat untuk terus mematuhi sepenuhnya SOP yang sedang dikuatkuasakan semasa berada di khalayak ramai khususnya di tempat-tempat tertutup seperti pasaraya dan restoran.

Katanya, ini juga salah satu sebab mengapa perlunya pekerja dan pelanggan di pasaraya dan restoran untuk lengkap dua dos vaksin (sebulan daripada sekarang) bagi mengurangkan risiko jangkitan sporadik di tempat-tempat yang lazim dikunjungi oleh ramai orang.

Dalam pada itu, pesakit baharu dalam Kategori 2 terus menjadi kumpulan yang terbanyak iaitu 972 kes atau 55.5% daripada 1,752 kes.

Trend ini sejajar dengan peningkatan kes baharu melalui Saringan Bergejala. 376 kes 21.4% adalah pesakit Kategori 1, 10 kes dalam Kategori 3, enam kes dalam Kategori 4 dan tiga kes dalam Kategori 5.

Dalam perkembangan lain, sehingga semalam (13 Ogos 2021) seramai 44.6% penduduk dewasa Sabah telah pun memperolehi satu dos vaksin dan 20.8% telah melengkapkan pengambilan dua dos.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *