PICK : Golongan Bukan Warganegara Tidak Terkecuali Terima Vaksinasi – Ruslan

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 33 Second

BEAUFORT: Golongan bukan warganegara tidak terkecuali dari menerima vaksinasi di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan Ruslan Muharam berkata, vaksinasi yang diberikan kepada golongan itu akan memberi kesan secara menyeluruh dalam memutuskan rantaian penularan COVID-19 di negara ini.

“Dalam situasi penularan pandemik COVID-19 yang semakin meningkat setiap hari khususnya di Sabah,  semua orang akan diberikan vaksin tanpa mengira status individu tersebut.

“Jika kita hanya mengutamakan rakyat tempatan sahaja  dan tidak melibatkan mereka yang bukan warganegara,  ini tidak akan memberi kesan secara menyeluruh dalam usaha kita memutuskan rantaian penularan COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas meninjau Program Jangkauan Luar (Outreach) CITF Daftar dan Vaksin Daerah Beaufort di Dewan Sri Dayang Lumadan disini hari ini.

Hadir sama, Pengarah Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Matbali Musah, Timbalan Pengarah Penerangan Sabah, Harun Maddasa, Pegawai Daerah Beaufort, Abdul Basirun; Pegawai Penerangan Daerah, Awang Muil Awang Raya dan Pengarah Kumpulan Sawit Kinabalu Bacho Jansie.

Ruslan berkata, beliau merakamkan penghargaan terima kasih kepada kerajaan yang sentiasa prihatin dan menjaga kebajikan rakyat tanpa mengira status demi memelihara kesejahteraan serta keselamatan rakyat.

“Oleh sebab itu, melalui program hari ini pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memberikan peluang kepada golongan bukan warganegara mendapatkan suntikan vaksin,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Kumpulan Sawit Kinabalu Bacho Jansie berkata, pihaknya turut komited membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok dengan lebih cepat menerusi program jangkauan luar.

“Pada hari ini kita membantu pihak CITF daerah Beaufort dengan mengadakan program jangkauan luar vaksinasi melibatkan kakitangan, pekerja ladang dan penduduk sekitar kampung Lumadan.

“Ini merupakan program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) kedua kami laksanakan dimana sebelum ini telah dilaksanakan di Kota Marudu,  selepas ini program sama akan turut dilaksanakan di beberapa daerah lain,” katanya.

Pada program itu, seramai 415 penduduk sekitar Kampung Lumadan termasuk kakitangan dan pekerja Sawit Kinabalu telah diberikan vaksinasi. – PENERANGAN

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *