PICK : Lebih 1.2 Juta Penduduk Dewasa Di Sabah Terima Vaksin Dos Pertama

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 32 Second

KOTA KINABALU : Lebih 1.2 juta atau 45.4 peratus penduduk dewasa di Sabah telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, seramai 599,823 orang atau 21.7 peratus telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin berkenaan.

“Jumlah pemberian vaksin melibatkan dos pertama dan kedua itu adalah yang direkodkan sehingga semalam.

“Pada hari ini, sebanyak 18,102 dos telah diberikan kepada penerima membabitkan dos pertama manakala sebanyak 27,423 dos lagi adalah melibatkan dos kedua yang diberikan kepada penerima vaksin,”katanya dalam kenyataan disini malam ini.

Masidi berkata, sejak pelaksanaan PICK di Sabah sebanyak 1,886,405 dos vaksin telah diberikan kepada rakyat di negeri ini membabitkan dos pertama dan kedua.

Katanya, dari jumlah itu sebanyak 1,278,144 dos adalah dos pertama manakala selebihnya 608,261 dos melibatkan dos kedua.

Dalam perkembangan lain, Masidi berkata, jumlah kes positif COVID-19 Sabah pada hari ini adalah sebanyak 1,665 kes iaitu penurunan sebanyak 87 kes berbanding 1,752 kes yang dicatatkan semalam.

Katanya, tidak banyak perubahan dengan jumlah kes semalam meskipun ada penurunan secara keseluruhan.

“Jumlah kes harian di Sandakan naik dua kali ganda ke 244 kes di mana 65.2 peratus adalah melalui Saringan Kontak Rapat.

“Kes di Kinabatangan naik mendadak daripada 15 kes kepada 152 kes hasil saringan di kalangan penduduk yang membentuk Kluster Tangkuyan yang sendirinya menyumbang kepada 128 kes,” katanya.

Katanya, Saringan Kontak Rapat kekal penyumbang utama keseluruhan kes di Sabah dengan 915 kes atau 54.95 peratus, Saringan Bergejala 390 kes atau 23.42 peratus dan kes-kes daripada Kluster 226 kes atau 13.57 peratus.

“Hampir 37 peratus kes di Kota Kinabalu adalah daripada Saringan Bergejala, 31.4 peratus di Tawau, 41.4 peratus di Penampang dan 44.6 peratus di Tuaran,”katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *