HomeUtamaYayasan Nur Jauhar Sumbang Bakul Makanan, Hargai Pengorbanan Petugas Barisan Hadapan

Yayasan Nur Jauhar Sumbang Bakul Makanan, Hargai Pengorbanan Petugas Barisan Hadapan

Read Time:2 Minute, 3 Second

PAPAR: Sebanyak 50 bakul makanan diserahkan kepada petugas barisan hadapan di dua lokasi Sekatan Jalan Raya (SJR) dan Balai Polis Bongawan yang bertugas sepanjang pandemik COVID-19.

Sumbangan yang disalurkan Yayasan Nur Jauhar (YNJ) itu disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin yang juga Penaung YNJ sebagai tanda penghargaan atas pengorbanan petugas barisan hadapan.

Pengerusi YNJ,  Brig Jen Al Hambra Juhar berkata, petugas barisan hadapan perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) demi melindungi diri serta keluarga daripada wabak penyakit yang telah meragut banyak nyawa.

“Sumbangan ini sebagai tanda penghargaan dan terima kasih daripada Tuan Yang Terutama Tun Juhar kepada pengorbanan serta tugas barisan hadapan yang bertugas menjaga sempadan daerah iaitu SJR sepanjang pandemik COVID-19.

“Kita berharap semua petugas barisan hadapan dapat terus menjaga SOP semasa menjalankan tugas masing-masing,” katanya.

Al Hambra yang juga Komander Rejimen 507 Askar Wataniah berkata, selain petugas barisan hadapan, sumbangan bakul makanan terbabit turut diagihkan kepada golongan masyarakat yang terjejas akibat COVID-19 dan berharap sumbangan tersebut dapat meringankan beban.

“Di samping itu, yayasan juga menyumbangkan bakul makanan kepada golongan yang terjejas dilanda wabak COVID-19.

“Kita doakan semoga mereka terus tabah dan bantuan ini diharap dapat meringankan beban mereka sekeluarga,” katanya dalam Program Penyampaian Sumbangan Bakul Makanan dan Penyerahan Jalur Gemilang Sempena Bulan Kebangsaan 2021.

Mengenai sambutan bulan kebangsaan, beliau menyeru masyarakat untuk mengibarkan Jalur Gemilang sehingga 16 September ini sebagai tanda cinta  kepada negara.

Mengiringi Tun Juhar dalam program tersebut ialah Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali dan Timbalannya, Datuk Mazli Mazlan serta Pengarah Penerangan Sabah, Nadzerah Abdullah.

Antara penerima sumbangan bakul makanan ialah suri rumah, Elin Gunsalam, 58, dari Bongawan yang bergantung hidup kepada pendapatan suami sebagai penoreh getah dan menyara tiga orang anak.

Turut menerima sumbangan, suri rumah, Dayang Norhayati Mohd Yassin, 42, dari Kg Berunai yang mempunyai tiga orang anak dan suami bekerja sendiri.

Sepupu kepada Norhayati, Dayang Rukiyah Ahmad Suhaili, 48, hanya bergantung kepada pendapatan suami yang bekerja sebagai pembersih dan menanggung dua orang cahaya mata.- PENERANGAN

RELATED ARTICLES
Utama

KPKM komited teroka peluang baharu tingkat penyertaan belia dalam bidang pertanian

Bangunan Kerajaan Sabah Pentadbiran Sabah Sabah

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular