PM Terpilih Menerusi SD Perlu Kemuka Usul Undi percaya di Parlimen – Agong

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 20 Second

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah bahawa Perdana Menteri yang dilantik hendaklah secepat mungkin mengemukakan usul undi percaya di Dewan Rakyat untuk mengabsahkan beliau mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan satu Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja Melayu akan diadakan pada Jumaat ini bagi membincangkan isu semasa.

“Baginda selanjutnya bertitah bahawa selaku Ketua Utama Negara, Baginda akan cuba sedaya upaya untuk menyempurnakan tanggungjawab seorang Raja Berperlembagaan berteraskan keluhuran Perlembagaan dan Kedaulatan Undang-undang,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Pada pertemuan bersama beberapa pemimpin politik semalam, Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang merupakan Timbalan Baginda menzahirkan pandangan bahawa kemelut politik yang berlarutan tanpa titik noktah ini telah mengganggu gugat tadbir urus kerajaan ketika negara masih diancam pandemik COVID-19.

“Baginda berdua menegaskan bahawa semua kemelut dan kecelaruan politik ini telah memberi kesan negatif yang mendalam kepada ekonomi negara, di samping itu demi kemaslahatan dan keselamatan rakyat, mengadakan Pilihan Raya Umum Ke-15 bukan satu pilihan yang terbaik pada ketika ini.

“Baginda berdua turut menzahirkan pandangan supaya Ahli-ahli Dewan Rakyat dapat bersatu hati berusaha mewujudkan perpaduan dan penyatuan semua parti-parti politik dengan memberi fokus kepada isu-isu semasa dan menjernihkan kembali kekusutan yang telah berlaku dengan kadar yang segera,” ujar beliau.

Sebelum mengakhiri sesi menghadap pada Selasa, Ahmad Fadil memaklumkan bahawa Seri Paduka Baginda turut mengingatkan ketua-ketua dan wakil parti-parti politik utama supaya ahli Dewan Rakyat yang menang seharusnya menghulurkan tangan untuk bekerjasama dengan yang tidak berjaya dan semua pihak sepatutnya bersedia untuk bekerja dalam satu pasukan.

“Dalam erti kata lain, yang menang tidak menang semua manakala yang kalah pula tidak kalah semua.

“Seri Paduka Baginda juga menzahirkan harapan agar Ahli-ahli Dewan Rakyat yang lain akan turut diatur bagi sesi-sesi menghadap daripada semasa ke semasa,” katanya.

Antara perkara yang turut dinyatakan Seri Paduka Baginda pada sesi pertemuan semalam adalah seperti berikut:

• Sesiapapun juga yang dilantik menerajui kepimpinan Kerajaan Persekutuan hendaklah dipilih mengikut peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

• Rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan pada masa yang sama negara bergelut dengan isu kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

• Kesepakatan dan kejujuran Ahli-ahli Dewan Rakyat sangat perlu bagi memastikan kemaslahatan dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.

• Ahli-ahli Dewan Rakyat perlu mempamerkan solidariti dengan meneruskan ikhtiar, memberikan komitmen yang tinggi dan memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat.

• Majoriti ‘frontliners’ berada dalam keletihan kerana berhadapan ribuan pesakit COVID-19 baharu setiap hari. Bahkan, fasiliti-fasiliti kesihatan negara juga berada pada situasi yang membimbangkan.

• Perancangan di bawah dasar sedia ada seperti pelaksanaan projek pembangunan, program menangani pandemik COVID-19, termasuk program vaksinasi untuk mencapai imuniti kelompok, dan program pemulihan negara perlu dikekalkan. – Awani

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *