HomeUtamaSabah Benarkan 100 Jemaah Tunai Solat Jumaat

Sabah Benarkan 100 Jemaah Tunai Solat Jumaat

Read Time:1 Minute, 59 Second

KOTA KINABALU: Sabah membenarkan jumlah jemaah solat Jumaat ditingkatkan kepada tidak lebih 100 orang atau satu pertiga luas ruang utama masjid bermula Jumaat ini.

Ia selaras dengan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) berkuat kuasa kelmarin.

Pengarah JHEAINS Datuk Saifulzaman Sangul berkata, keutamaan akan diberikan kepada jemaah yang sudah mengambil vaksin COVID-19 sejajar usaha bagi mengawal penularan virus berkenaan dalam kalangan jemaah.

Katanya, imam dan jawatankuasa masjid juga digalakkan untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19.

“Solat lima waktu berjemaah di masjid dan surau turut ditingkatkan kepada tidak lebih 50 orang atau satu pertiga luas ruang utama masjid dan surau dengan mengambil kira penjarakan fizikal satu meter.

“Kebenaran aktiviti solat lima waktu itu mengambil kira Maqasid al-Syar’ieyyah dan laporan terkini mengenai kepatuhan masyarakat Islam terhadap SOP sedia ada.

“Perkara ini merujuk kepada keputusan Mesyuarat Jawatankuasa Khas SOP COVID-19 Bagi Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah yang terdiri daripada Pejabat Mufti Negeri Sabah, Pejabat Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, JHEAINS, Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Sabah dan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

SOP sebelum ini yang dikeluarkan pada Jun lalu, hanya membenarkan seramai 12 jemaah yang terdiri daripada Ahli Jawatan Kuasa (AJK) masjid atau surau dibenarkan untuk menunaikan solat Jumaat dan solat lima waktu berjemaah.

Katanya, selain solat Jumaat dan lima waktu, majlis tahlil sempena sambutan Maal Hijrah, Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia juga dibenarkan dengan kehadiran sehingga 100 orang bagi masjid utama, manakala 50 orang bagi masjid kariah atau institusi berkaitan.

Tambahnya, upacara akad nikah pula hanya dibenar diadakan di pejabat agama dengan kehadiran seramai lapan orang sahaja.

“Aktiviti di masjid atau surau secara bersemuka seperti kuliah, majlis ilmu akad nikah, majlis kenduri dan seumpamanya adalah tidak dibenarkan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Dalam pada itu, Saifulzaman  berkata, bagi solat Jumaat, laungan azan dibuat mengikut waktu Zohor, disusuli khutbah pertama dan kedua menggunakan teks disediakan JHEAINS selama maksimum 10 minit, manakala solat Jumaat dipendekkan kepada maksimum tujuh minit.

Katanya, kehadiran jemaah tertakluk kepada SOP ketat ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) termasuk selain tidak menggalakkan kehadiran golongan berisiko dan kanak-kanak bawah 10 tahun dan melarang sama sekali kedatangan individu bergejala dan kontak kes COVID-19.

Sementara itu, beliau berkata JHEAINS turut membenarkan aktiviti solat jenazah diadakan dengan kehadiran seramai 12 orang terdiri daripada ahli keluarga terdekat simati.

RELATED ARTICLES
Utama

Warga emas ditemui lemas semasa memukat di pantai Kuala Putatan 2

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya