Kibar Jalur Gemilang Dan Bendera Negeri Tunjuk Semangat Patriotik Sempena Sambutan Hari Kemerdekaan – Bung

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 45 Second

KINABATANGAN: Semua anggota masyarakat khususnya di kawasan Kinabatangan disaran menghidupkan suasana sambutan Hari Kemerdekaan dengan penuh semangat patriotik dengan mengibarkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sabah walaupun negara masih berhadapan dengan penularan pandemik Covid-19.

Timbalan Ketua Menteri Sabah Dato Sri Bung Moktar Radin berkata, penularan Covid-19 sejak lebih setahun lalu sehingga menjejaskan kehidupan normal masyarakat tidak sewajarnya dijadikan alasan untuk melupakan detik bersejarah negara mencapai kemerdekaan.

Beliau berkata, semangat pemimpin terdahulu yang berjuang menuntut kemerdekaan perlu dicontohi dan dijadikan inspirasi untuk melawan Covid-19 musuh yang tidak dapat dilihat dan amat berbahaya ketika ini.

“ Pelbagai cara untuk kita menzahirkan semangat patriotik kepada negara antaranya mengibarkan jalur gemilang di kediaman masing-masing dan yang paling penting ketika negara berhadapan pandemik COVID-19 ialah mendisiplinkan diri dan bersolidariti menanganinya dengan cara mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan” kata Bung yang diwakili oleh Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Lamag Abu Bakar Gapar untuk mengagih-agihkan Jalur Gemilang dan bendera Negeri Sabah di kawasan tersebut.

Turut hadir ialah Pegawai Daerah Kinabatangan Abdul Manap And Rahim bersama kakitangan (UPPM) Lamag.

Menurut Bung yang juga Wakil Rakyat Lamag ,walaupun keadaan negara khususnya di Sabah masih lagi dilanda pandemik Covid-19 ini, namun semangat menyambut Hari Kemerdekaan itu wajar diteruskan kerana ia boleh menyatukan hati seluruh masyarakat.

“Kita boleh berselisih faham dalam banyak perkara, berdepan dengan pelbagai ujian dan pandemik, tetapi soal kesetiaan kepada negara, soal kemerdekaan negara kita adalah sesuatu yang amat penting,” katanya.

Sementara itu PPM Lamag Abu Bakar Gapar meminta masyarakat khususnya di kawasan Lamag agar sentiasa mematuhi arahan serta SOP yang ditetapkan oleh pihak kerajaan khususnya Kementerian Kesihatan berikutan peningkatan kes positif COVID-19 di kawasan tersebut.

Katanya, dengan cara mendisplin diri dan pematuhan kepada SOP yang ditetapkan masyakat boleh mengekang penularan virus COVID-19 dari terus merebak.

Menurut Abu Bakar beberapa buah kampung di kawasan tersebut telah pun dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan(PKPD) yang bertujuan untuk mengkakang penularan virus COVID-19

“ Wakil Rakyat kawasan ini (Bung ) sentiasa cakna masalah ini dan bantuan sewajarnya terutamanya bantuan bakul makanan turut diagih-agihkan kepada penduduk yang terlibat dengan (PKPD) ini” jelas Beliau.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *