Majlis Bacaan Yasin, Doa Selamat Untuk Kesembuhan Sakaran & Lajim

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 41 Second

KOTA KINABALU : Satu majlis bacaan yasin dan doa selamat telah diadakan bagi memohon kesejahteraan dan kesembuhan kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Tun Sakaran Dandai dan Pengerusi Eksekutif Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) Datuk Seri Lajim Ukin.

Majlis yang diadakan secara maya menerusi ‘Google Meet’ itu dianjurkan bersama Majlis Dakwah Negara (MDN) Sabah; Universiti Malaysia Sabah (UMS); Alumni Sekolah Menengah Agama Toh Puan Hjh Rahmah Kota Kinabalu dan Alumni Sekolah Menengah Agama Limauan.

Pesuruhjaya MDN Sabah Samin Ongki berkata, majlis itu dijayakan hampir lebih 200 orang termasuk yang tidak menyertai secara maya yang bermula selepas solat Maghrib petang tadi.

“Alhamdullillah, satu majlis bacaan yasin dan doa selamat telah selesai diadakan selepas solat Maghrib tadi dimana seramai 95 orang umat Islam telah menyertai majlis menerusi Google Meet manakala selebihnya melaksanakan secara persendirian.

“Selain Google Meet, beberapa lokasi lain membabitkan kakitangan UMS; kakitangan Tabung Haji Sabah Sarawak; penghuni Rumah Anak Yatim Asnaf As-Sakinah Kinarut dan saya pasti ramai lagi yang menyertai majlis itu,” katanya ketika dihubungi Sabah Media malam ini.

Katanya, antara yang turut serta pada majlis itu, isteri Lajim, Datin Seri Normilah Siong; Naib Canselor UMS, Prof. Datuk ChM. Ts. Dr. Taufiq Yap Yun Hin dan Pengarah Tabung Haji Sabah Sarawak Datin Norlaila Said.

“Bersama-sama kita doakan agar kedua-dua pemimpin ini diberi kesembuhan yang baik,” katanya.

Terdahulu, Sakaran sebelum ini menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Gleanagles selepas disahkan dijangkiti COVID-19 namun keadaannya dilaporkan stabil.

Manakala Lajim turut dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ bagi menerima rawatan akibat dijangkiti COVID-19.

Beliau yang ditidurkan pada Selasa lalu kini dilaporkan stabil namun keadaan masih belum sedar.

Dalam pada itu, seramai 50 jemaah Masjid Puncak Taqwa (MPT) Pekan kinarut disini turut mengadakan bacaan yasin sempena hari kebangsaan dan bacaan doa selamat bagi memohon kesembuhan Sakaran dan Lajim termasuk semua pesakit yang dijangkiti COVID-19.

Ahli Jawatankuasa MPT Ustaz Nor Azhar Alimin berkata, bacaan yasin dipimpin oleh Imam MPT Abd Rahman dan Ustaz Fahmi.

Turut hadir , Pengerusi MPT Prof Dr Hj Awang Setia Hj Musleh.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *