PICK : Dos Tunggal Mampu Percepat Proses Vaksinasi Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 1 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 180,000 dos vaksin COVID-19 jenis Cansino telah dihantar ke Sabah bagi pelaksanaan vaksinasi kepada penduduk di pedalaman negeri ini,

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, penghantaran itu diharap mampu mempercepatkan lagi proses vaksinasi kepada kumpulan sasar dinegeri ini.

“Vaksin Cansino hanya memerlukan satu suntikan.  Diharapkan vaksin ini dapat mempercepatkan dan memudahkan liputan vaksinasi khususnya di kawasan pedalaman dan kumpulan sasar yang telah dikenalpasti,” katanya menerusi ciapan di Twitter hari ini.

Sabah Media sebelum ini melaporkan negeri ini telah menerima sebanyak 94,000 bekalan dos vaksin menerusi dua penghantaran sejak Selasa lalu.

Ia membabitkan penghantaran pertama sebanyak 50,800 dos  manakala sebanyak 43,200 dos vaksin sama tiba semalam kira-kira jam 9 pagi di Mas Kargo Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pentadbiran) Datuk Masnah Matsalleh berkata, vaksin itu akan diberi keutamaan kepada penduduk di kawasan pedalaman, luar bandar dan pulau di seluruh Sabah.

Katanya, pengagihan vaksin itu ditetapkan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan setakat ini, vaksin yang diterima adalah mencukupi bagi keperluan sasaran yang telah ditetapkan.

“Sabah juga bakal menerima 86,000 dos vaksin sama pada 27 Ogos ini,” katanya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *