COVID-19: Sabah Rekod 46 Kes Kematian, 2,578 Kes Positif

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 3 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sabah sekali lagi merekodkan angka kematian yang tinggi akibat jangkitan COVID-19 iaitu sebanyak 46 kes kematian dilaporkan hari ini membabitkan 11 kes di Tawau, 10 kes di Kota Kinabalu, sembilan kes di Sandakan, tiga kes di Tuaran dan Keningau, dua kes di Kinabatangan, Penampang dan Kalabakan manakala Papar, Kudat, Putatan dan Lahad Datu masing-masing mencatatkan satu kes kematian.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, selain angka kes kematian yang tinggi dilaporkan pada hari ini namun jumlah kes positif baharu COVID-19 juga masih tinggi iaitu 2,578 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 142,939 kes.

Menurut Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Negeri, Tuaran mencatatkan penambahan 288 kes hari ini di mana hampir 84% kes di daerah itu adalah di kalangan Kontak Rapat manakala kes di Daerah Penampang pula turun 268 kes dan secara keseluruhan 41% adalah daripada Saringan Bergejala.

Secara keseluruhan Saringan Bergejala ialah 28.78% atau 742 kes sementara Saringan Kontak Rapat menyumbang 62.26% atau 1605 kes dan Saringan Kluster hanya 30 kes.

Walau bagaimanapun, Daerah Kota Kinabalu merekodkan peratusan Saringan Bergejala yang paling tinggi yakni 42.5% atau 249 kes.

Masidi yang juga turut memaklumkan bahawa daripada 2,578 kes baharu hari ini, 1,064 kes atau 41.27% adalah kes positifyang lewat didaftar antara 2 hingga 3 hari, 171 kes atau 6.63% adalah keputusan saringan yang didaftar lewat antara 4 hingga 5 hari dan 207 kes atau 8.03% adalah kes daftar lewat melebihi 5 hari. Sebanyak 2,356 atau 91.4% adalah warganegara dan 222 kes adalah bukan warganegara.

Dalam pada itu, 61% atau 1,572 kes daripada keseluruhan kes hari ini adalah berumur antara 18 hingga 59 tahun, 509 kes berumur antara 6 hingga 17 tahun dan 228 kes berumur lebih 60 tahun. Terdapat 235 kes merupakan kanak-kanak yang berumur 1 hingga 5 tahun dan 34 kes adalah bayi berumur di bawah 1 tahun.

Masidi dalam kenyataannya hari ini, menggesa seluruh masyarakat agar terus mempraktikkan pematuhan SOP dengan serius khususnya dari aspek pemakaian pelitup muka dengan betul baik kepada individu yang belum vaksin mahupun yang telah di vaksin.

“Pemantauan di lapangan mendapati ketidakpatuhan pemakaian pelitup muka dan kesedaran yang masih berada di tahap yang membimbangkan berdasarkan peningkatan bilangan kompaun harian yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Peranan dan tanggungjawab semua pihak amat diperlukan untuk menangani pandemik COVID-19 melalui pematuhan SOP yang ditetapkan demi keselamatan bersama,” tegasnya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *