TUDM Laksana Penerbangan Bawa 99,400 Dos Vaksin Ke Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

KUCHING :  Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah membantu Majlis Keselamatan Negara (MKN) Sabah memindahkan sejumlah 99,400 dos vaksin COVID-19 dari Sarawak ke negeri ini melalui penerbangan ‘logistic communication’ yang dilaksanakan pada hari ini.

Penerbangan melibatkan pengambilan vaksin jenis Pfizer melalui pinjaman vaksin daripada kerajaan negeri Sarawak melibatkan tiga lokasi di negeri itu iaitu Kuching, Sibu dan Bintulu untuk dibawa ke Tawau.

Dalam satu kenyataan menyatakan pemindahan vaksin itu adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri Sabah bagi meningkatkan pemberian vaksin di kalangan rakyat Sabah bagi mencapai sasaran imunisasi kelompok iaitu 80 peratus rakyat Sabah telah divaksin menjelang Oktober 2021.

Pesawat angkut C130 dari Pangkalan Udara Labuan dikendalikan Juruterbang, Kapten Mohamad Zulkarnain Johari TUDM bersama-sama Pembantu Juruterbang, Kapten Kapt Owi Wei Lunn TUDM; Jurutera Penerbangan, Mejar Mohd Azlan bin Mohd Ali TUDM; Jurumalim Kapten Muhammad Haikal Rasdi TUDM serta Kuartermaster Udara iaitu Pegawai Waren Udara II Freddie Francis Anak Biren dan Sarjan Udara Ridzuan Karmusakar tiba pada jam 11.30 pagi di Pangkalan Udara Kuching.

Pesawat telah berlepas dari Pangkalan Udara Kuching pada jam 12.30 tengah hari dan membuat pengambilan vaksin di Lapangan Terbang Sibu dan Lapangan Terbang Bintulu sebelum meneruskan penerbangan ke Lapangan Terbang Tawau dan tiba pada jam 4.30 petang seterusnya diserahkan kepada pihak Jabatan Kesihatan negeri Sabah.

Peranan TUDM khususnya di dalam sokongan logistik melalui penghantaran udara bagi membantu negara menangani krisis kesihatan global pandemik COVID-19 dilaksanakan berterusan semenjak wabak COVID-19 melanda negara pada Mac 2020 terutama ketika pesawat komersial terpaksa menghentikan operasi penerbangan.

TUDM sentiasa bersiapsiaga dan terus komited dalam melaksanakan peranan utama dan sekunder termasuklah tanggungjawab sosial kepada masyarakat demi memastikan kesejahteraan rakyat dan negara terus dipelihara.

Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua anak kapal yang terlibat serta semua pihak yang melaksanakan usahasama bersepadu melibatkan Kementerian Sains, Inovasi dan Teknologi (MOSTI), MKN Negeri Sabah, MKN Negeri Sarawak, Jabatan Kesihatan, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia serta TUDM iaitu Pangkalan Udara Kuching, Pangkalan Udara Labuan dan Pusat Bantuan Operasi TUDM Tawau.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *