Mohamad Alamin tidak hadir istiadat angkat sumpah kerana positif Covid-19

Read Time:45 Second

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan II dalam Kabinet baharu disahkan positif COVID-19.

Susulan itu, beliau yang akan mengangkat sumpah di hadapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini tidak dapat berbuat demikian.

Mohamad berkata, beliau membuat ujian saringan RT-PCR semalam selepas tidak sihat dan demam.

“Ujian saringan PCR saya menunjukkan saya positif COVID-19. Justeru saya tidak dapat menghadiri istiadat mengangkat sumpah timbalan menteri esok (30 Ogos).

“Kini saya tidak lagi demam dan sedang menjalani kuarantin kendiri di Kuala Lumpur,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Pada Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan senarai Ahli Jemaah Menteri beserta Timbalan-Timbalan Menteri di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya.

Salah seorang timbalan menteri dalam Kabinet baharu itu ialah Mohamad yang memikul portfolio Timbalan Menteri Pendidikan II. – Astro Awani

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.