Rindu Masa Bersama Keluarga – Frontliner

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 47 Second

KOTA KINABALU: Sebagai petugas barisan hadapan khususnya sepanjang tempoh pandemik Covid-19, satu-satunya kesempatan yang dirindukan ialah masa bersama keluarga.

Penolong Pengarah Belia Bulan Sabit Merah Malaysia (BSMM), Kevin Lo, 37, dari Tuaran merupakan antara 10 penerima memento yang dinukilkan khas untuk mengiktiraf dan sekaligus memberi penghormatan kepada semua petugas barisan hadapan yang menjalankan tugas dengan penuh dedikasi tanpa mengira masa.

Majlis penyerahan momento tersebut disempurnakan Ketua Menteri, Datuk Hajiji Mohd Noor di Dewan Bankuasi, Pusat Pentadbiran Negeri Sabah sempena Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sabah Tahun 2021, hari ini.

“Sebagai sukarelawan persatuan ini, cabaran semasa menjalankan tugas sepanjang Covid-19 ialah masa bersama keluarga amat singkat kerana perlu bertugas setiap hari.

“Dalam persatuan, saya bertugas membantu Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat bukan sahaja di Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV), malah menyediakan bakul makanan dan membantu Tabung Darah Hospital bagi mengisi bekalan darah yang setiap hari berkurangan.

“Saya amat terharu dan berterima kasih atas pengiktirafan daripada kerajaan Negeri Sabah dan berazam untuk memberikan khidmat terbaik untuk masyarakat,” ujarnya yang juga Setiausaha Kehormat BSMM Daerah Tuaran.

Bagi frontliner wanita, Leftenan Muda Rejimen 507 Askar Wataniah, Sitii Zubaidah Kanisius @ Benyamin, 25, yang berasal dari Beluran pula menjalankan tugas semasa Op Penawar sepanjang pandemik sentiasa sibuk tetapi masih sempat membahagikan masa untuk tugas hakikinya di Koperasi Pekerja Kerajaan Negeri Sabah.

“Saya teruja sekali kerana diberi penghormatan dan pengiktirafan terutama sekali ketika musim pandemik ini.

“Penat lelah dan usaha sepanjang menjadi frontliner sudah cukup diraikan dengan mengibarkan jalur gemilang pada majlis seperti hari ini dan saya sangat berbangga menjadi warga Malaysia yang bebas, merdeka dan berdaulat,” kata Sitti Zubaidah.

Turut berkongsi pengalaman serta cabaran bertugas semasa pandemik ialah Pegawai Imigresen Bahagian Pengkuatkuasaan, Muhammad Ghulam Ghulam Rasul, 29, yang memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) di sektor perindutrian.

“Hujung minggu saya habiskan di pejabat untuk tugasan pemantauan SOP ke atas majikan kilang-kilang serta kawasan yang mempunyai pekerja warga asing dan tidak dinafikan, tugasan ini terdedah dengan wabak Covid-19,” jelasnya.

Beliau turut bersyukur dan berterima kasih atas penghormatan diberikan sekaligus dapat mengubati rasa penat dan lelah bertugas sepanjang pandemik.- PENERANGAN

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *