Penggunaan Katil ICU Di Sabah Melebihi Kapasiti

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

KUALA LUMPUR: Sebanyak 90 peratus katil unit rawatan rapi (ICU) digunakan di hospital COVID-19 di seluruh negara setakat Rabu, dengan kadar penggunaan tertinggi adalah di Sabah sehingga melebihi kapasiti, iaitu sebanyak 126 peratus.

Menurut data yang dikongsikan Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, penggunaan katil ICU di Kedah dan Perak juga melebihi kapasiti, iaitu masing-masing sebanyak 121 dan 107 peratus.

Ketiga-tiga negeri ini merupakan antara negeri mencatatkan kadar vaksinasi paling rendah, dengan hanya 40.8 peratus populasi dewasa di Sabah yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam, manakala Kedah (47.1 peratus) dan Perak (48.4 peratus).

Sementara itu, kadar penggunaan katil bukan ICU di hospital-hospital COVID-19 di seluruh negara pula berada pada 78 peratus.

Di Selangor, penggunaan katil ICU masih kekal tinggi dengan 99 peratus, manakala Kuala Lumpur (77 peratus).

Dalam pada itu, berdasarkan data Kementerian Kesihatan (KKM) yang dikongsikan secara terbuka di sistem GitHub, Selangor merekodkan kadar penggunaan katil ICU kurang 100 peratus selama tujuh hari berturut-turut sehingga 31 Ogos.

Kelantan turut merekodkan penggunaan katil ICU sebanyak 99 peratus, diikuti Pulau Pinang (96 peratus), Johor (95 peratus) dan Melaka (80 peratus).

Sementara itu, kadar penggunaan katil bukan ICU di hospital COVID-19 pula tertinggi di Pulau Pinang iaitu sebanyak 117 peratus, diikuti Perlis (102 peratus) dan Johor (101 peratus).

Hari ini, lima negeri merekodkan kes harian COVID-19 mencecah empat digit iaitu tertinggi di Selangor (4,073), diikuti Sarawak (2,992), Kedah (2,455), Sabah (2,329), Johor (2,145) dan Pulau Pinang (1,600). –ASTRO AWANI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *