COVID-19 : JKNS Rancang Persediaan Hadapi Situasi Kesesakan Wad Akibat Peningkatan Kes

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 50 Second

KOTA KINABALU : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah membuat perancangan dan persediaan bagi menghadapi situasi kesesakan wad-wad hospital di beberapa buah daerah di negeri ini berikutan  peningkatan mendadak kes COVID-19.

Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Sabah Ir Shahelmey Yahya berkata, ia termasuklah menukar wad sedia ada kepada wad COVID-19 berserta penggunaan alat bantuan pernafasan.

“Kerajaan negeri mengambil maklum tentang keadaan kes COVID-19 yang kini terus meningkat naik dan penggunaan katil pada tahap tinggi di beberapa hospital daerah di Sabah.

“Antara perancangan yang dilaksanakan adalah menukar wad sedia ada kepada wad COVID-19 selain penggunaan alat bantuan pernafasan,” katanya ketika dihubungi disini semalam.

Shahelmey yang juga Exco Kesihatan Sabah berkata, kerajaan Sabah bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan JKNS juga giat melaksanakan pemberian vaksin kepada penduduk di negeri ini bagi mengurangkan kadar jangkitan kes yang ada.

Katanya, pelbagai program jangkauan luar giat dilaksanakan bagi meningkatkan jumlah penerima vaksin di negeri ini.

“Pemberian vaksin kepada individu layak akan dapat menambah sistem pertahanan badan seterusnya dapat membantu mengurangkan kadar jangkitan serta keperluan dimasukkan ke wad di hospital.

“Selain giat membantu program imunisasi, kerajaan negeri melalui Jabatan Perkhidmatan Am Negeri Sabah bersama KKM juga telah mewujudkan Home Monitoring Call Centre (HMCC).

“Pusat ini berfungsi sebagai satu pusat operasi yang membuat panggilan telefon dan pemantauan keadaan pesakit positif COVID-19 ditahap satu dan dua dimana mereka perlu dikuarantin di rumah sahaja,” katanya.

Tambahnya, pusat itu adalah tanda keprihatinan kerajaan terhadap keadaan pesakit yang sedang melaksanakan kuarantin di rumah dan dapat membantu memberi sokongan emosi serta memantau proses penyembuhan mereka.

Semalam Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 90 peratus katil unit rawatan rapi (ICU) digunakan di hospital COVID-19 di seluruh negara setakat Rabu, dengan kadar penggunaan tertinggi adalah di Sabah sehingga melebihi kapasiti, iaitu sebanyak 126 peratus.

Katanya menerusi data yang dikongsikan, penggunaan katil ICU di Kedah dan Perak juga melebihi kapasiti, iaitu masing-masing sebanyak 121 dan 107 peratus.

Ketiga-tiga negeri ini merupakan antara negeri mencatatkan kadar vaksinasi paling rendah, dengan hanya 40.8 peratus populasi dewasa di Sabah yang melengkapkan dua dos vaksin COVID-19 setakat semalam, manakala Kedah (47.1 peratus) dan Perak (48.4 peratus).

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *