PICK : Sabah & 6 Lagi Negeri Akan Diberi Perhatian Khusus Bagi Tingkat Kadar Vaksinasi

Read Time:1 Minute, 27 Second

PUTRAJAYA: Tujuh buah negeri iaitu Sabah, Kelantan, Kedah, Johor, Perak, Terengganu dan Pahang akan diberi perhatian khusus kerajaan bagi meningkatkan kadar vaksinasi Covid-19.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) mendapati tujuh negeri itu mempunyai kadar vaksinasi kurang daripada 55 peratus.

Beliau berkata, CITF juga akan bekerjasama dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bagi memastikan vaksin dapat disuntik kepada penduduk yang jauh di pedalaman.

“Untuk makluman, 17 organisasi telah diberikan kebenaran bagi melaksanakan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bergerak di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

“Justeru, CITF menyeru agar negeri-negeri terus berhubung dengan organisasi ini yang berpengalaman menjalankan program PPV bergerak,” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.

Katanya, inisiatif vaksinasi secara pandu lalu dan jumpa terus (walk-in) juga akan terus diperhebatkan dan diperluaskan lagi di negeri-negeri berkenaan.

Adham berkata, negeri-negeri ini juga disaran untuk membuka lebih banyak PPV pandu lalu sekiranya masih terdapat keperluan untuk meningkatkan kapasiti pemberian vaksin.

Menurutnya, inisiatif suntikan vaksin Covid-19 secara walk-in di 11 buah negeri bermula hari ini.

“Inisiatif terbaharu itu dilaksanakan di Sabah, Terengganu, Kelantan, Pahang, Perak, Perlis, Johor, Sarawak, Kedah, Pulau Pinang dan Melaka.

“Maklumat lanjut mengenai inisiatif walk-in di negeri-negeri berkenaan akan dikemas kini dari semasa ke semasa.

“Orang ramai boleh membuat semakan di Jabatan Kesihatan Negeri masing-masing untuk mendapatkan maklumat lanjut,” katanya.

Dalam pada itu, Adham berkata, beliau turut menyarankan agar sekurang-kurangnya 10 peratus daripada jumlah vaksin yang diagihkan ke negeri-negeri melalui Jabatan Kesihatan Negeri diperuntukan kepada Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN).

“Ini selari dengan perbincangan di sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) baru-baru ini untuk memperhebatkan lagi usaha pemvaksinan pekerja warga negara atau bukan warga negara. -UTUSAN ONLINE

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan.