Kerajaan Sabah Adakan Mesyuarat Bersama KKM Isnin Ini, Bincang Atasi Masalah Peningkatan Jangkitan COVID-19

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 27 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan bermesyuarat dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi menambah baik sekali gus mengatasi masalah peningkatan jangkitan COVID-19 termasuk lebihan kapasiti katil bagi unit rawatan rapi (ICU) di hospital di Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, mesyuarat itu akan diadakan pihaknya bersama Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada Isnin depan.

Malah menurutnya, mesyuarat bersama Khairy itu akan memperincikan jalan untuk mengatasi masalah tersebut sekali gus program imunisasi di Sabah.

“Kita akan melakukan sesuatu untuk mengatasi perkara ini (jumlah penggunaan katil ICU). Saya dimaklumkan bahawa Menteri Kesihatan akan melawat Sabah pada Isnin dan kita akan bermesyuarat.

“Saya akan berjumpa dengan beliau dan kita akan cari jalan untuk mengatasi masalah ini. Apa yang penting saya menasihati rakyat Sabah untuk kekal duduk di rumah dan mematuhi SOP ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Perasmian Skybridge Kota Kinabalu, yang diadakan pada Jumaat.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, tiga negeri iaitu Sabah, Kedah dan Perak merekodkan penggunaan katil ICU melebihi 100 peratus.

Sabah mempunyai kapasiti 145 katil ICU dengan penggunaannya, 126 peratus.

Selain itu, mengulas mengenai kesediaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk membantu lima negeri termasuk Sabah dalam menangani jangkitan kes COVID-19, Hajiji mengalu-alukan usaha itu.

Katanya, usaha itu termasuk membuka hospital medan dapat membantu kerajaan untuk mengatasi masalah kesesakan di hospital kerajaan.

Ditanya mengenai kenyataan daripada Pakatan Harapan Sabah yang mengatakan mereka telah mengemukakan usul khas bagi meluaskan bidang kuasa kesihatan negeri, Hajiji menjelaskan ia terpulang kepada Speaker DUN Sabah.

“Kita tengok nanti, kalau sudah dibawa ke mesyuarat DUN baru kita tahu. Tetapi apa-apa pun perkara yang terbaik untuk negeri dan rakyat Sabah, kita tiada halangan untuk berbincang serta melaksanakannya,” katanya lagi. – ASTRO AWANI

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *