Kerajaan Negeri Terima RM20 Juta Daripada Sawit Kinabalu Untuk Dividen Dan Tabung COVID-19

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:2 Minute, 0 Second

KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri telah menerima RM20 juta daripada Kumpulan Sawit Kinabalu sebagai pembayaran dividen dan sumbangan untuk Tabung COVID-19, pada Khamis.

Daripada jumlah itu sebanyak RM10 juta adalah untuk pembayaran interim dividen bagi suku pertama dan kedua tahun 2021 manakala RM10 juta lagi untuk Tabung COVID-19.

Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, yang juga Pengerusi Sawit Kinabalu menerima replika cek tersebut daripada Pengarah Urusan Kumpulan Sawit Kinabalu, Bacho Jansie dalam satu majlis penyerahan di Pusat Pentadbiran Kerajaan Negeri.

Hajiji berkata, walaupun berdepan dengan penularan pandemik COVID-19, Sawit Kinabalu terus menunjukkan prestasi cemerlang kerana mampu membayar dividen dan membantu untuk Tabung COVID-19.

“Saya berasa gembira dengan pencapaian cemerlang Sawit Kinabalu. Pembayaran ini jelas memenuhi aspirasi kerajaan negeri bahawa syarikat-syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) hendaklah cekap dan membawa keuntungan.

“Kerajaan akan sentiasa menyokong industri sawit sebagai salah satu daripada sektor ekonomi kerana ia sejajar dengan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan pertanian sebagai satu daripada tiga sektor utama pertumbuhan ekonomi negeri ini selain perindustrian dan pelancongan.

“Ini juga satu bukti yang jelas betapa kerajaan mengambil serius mengenai pembangunan ekonomi negeri untuk membawa kesejahteraan kepada seluruh rakyat,” katanya.

Sehingga kini, Kumpulan Sawit Kinabalu sebuah jentera pelaburan kerajaan negeri Sabah telah membayar dividen sebanyak RM1.2 bilion kepada Kerajaan Negeri Sabah sejak syarikat itu diperbadankan 25 tahun yang lalu.

Bacho berkata walaupun seluruh negara sedang mengalami ancaman wabak COVID-19 dan bencana alam seperti banjir di beberapa negeri, namun industri sawit tetap membawa impak positif terhadap pertumbuhan ekonomi.

Katanya, pada tahun 2021 ini, harga minyak sawit mentah telah mencatat harga tertinggi iaitu melebih RM4,700 satu tan pada bulan Mei yang lalu hasil daripada prestasi faktor- faktor lain seperti peningkatan harga minyak kacang soya.

“Prestasi aktiviti di ladang dan kilang amat memberangsangkan dengan tumpuan utama diberi bagi memaksima pengeluaran buah di ladang dan kerja-kerja pemprosesan di kilang.

Melalui keutamaan yang diberikan kepada aktiviti itu, jelas prestasi ini akan meningkat lagi pada masa-masa akan datang. “Kekuatan Sawit Kinabalu terletak pada tenaga pekerjanya termasuk di ladang dan kilang.

Pada musim pandemik ini, syarikat telah membelanjakan lebih RM6 juta kepada seluruh tenaga pekerjanya dalam perbelanjaan kos COVID-19 termasuklah pembayaran insentif pekerja ladang dan kilang sewaktu perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Kumpulan Sawit Kinabalu, Datuk Rubin Balang dan ahli-ahli Lembaga Pengarah syarikat termasuk Datuk KY Mustafa dan Khairul Firdaus Akbar Khan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *