COVID-19: 55 Kes Kematian Tertinggi Di Sabah, Kes Saringan Bergejala Meningkat

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Sebanyak 55 Kes kematian tertinggi dilaporkan di Sabah hari ini melibatkan 12 kes di Tuaran, 10 kes di Kota Kinabalu, tujuh kes di Tawau, enam kes di Sandakan, empat kes di Lahad Datu, tiga kes di Penampang, Putatan, Keningau, Beluran dan Papar masing-masing mencatatkan dua kes manakala satu kes di Kuala Penyu, Kalabakan, Tenom, Kudat dan Kinabatangan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, terdapat trend di mana jumlah Saringan Kontak Rapat menurun tetapi jumlah kes melalui Saringan Bergejala bertambah. Trend ini agak membimbangkan kerana ia satu petanda virus COVID-19 semakin berleluasa di kalangan masyarakat tanpa diketahui punca penyebaran.

“Hari ini peratusan Kontak Rapat turun kepada 54.3% atau 1,237 kes tetapi jumlah daripada Saringan Bergejala naik kepada 31.1% atau 708 kes manakala Saringan Kluster menyumbang 164 kes”, kata Masidi yang juga Jurucakap Rasmi COVID-19 Negeri.

Menurut Masidi, daripada 2,279 kes baharu hari ini, 1067 kes atau 46.8% adalah kes positif yang lewat didaftar antara 2 hingga 3 hari, 92 kes atau 4.0% adalah keputusan saringan yang didaftar lewat antara 4 hingga 5 hari dan 181 kes atau 7.9% adalah yang didaftar lewat melebihi 5 hari selepas keputusan ujian diketahui.

Dalam pada itu, Daerah Kota Kinabalu 40% daripada kes hari ini berpunca daripada Saringan Bergejala, Sandakan 28.6%, Tawau 42% dan Penampang 36.6%.

Manakala pesakit dalam Kategori 3, Kategori 4 dan Kategori 5 kekal dalam paras yang dianggap tinggi. Hari ini pesakit dalam Kategori 1, 626 kes atau 27.5%, Kategori 2, 1,527 kes atau 67.0%, Kategori 3, 20 kes, Kategori 4, 10 kes dan Kategori 5, sembilan kes.

Dalam perkembangan berkaitan, Daerah Beaufort adalah daerah yang paling tinggi jumlah penduduk yang telah melengkapkan pengambilan vaksin iaitu 89.0%, diikuti oleh Kuala Penyu dengan 76.6%. Setakat 03 September 2021, 42.4% penduduk dewasa negeri Sabah telah pun memperolehi vaksin lengkap dan 61.1% memperolehi satu dos.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *