HomeUtama33 buah rumah dikenal pasti terjejas di Kampung Kopungit

33 buah rumah dikenal pasti terjejas di Kampung Kopungit

Read Time:1 Minute, 22 Second

KOTA KINABALU: Sebanyak 33 buah rumah penduduk di Kampung Kopungit dikenal pasti terjejas akibat tanah runtuh semalam selain berada dalam keadaan tidak selamat.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, berikutan kejadian itu, penduduk yang terlibat telah diarah berpindah bagi mengelak kejadian tidak diingini berikutan cuaca hujan yang berterusan ketika ini.

“Pihak agensi keselamatan bersama pihak Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) akan  membantu penduduk yang terjejas untuk berpindah ke kawasan yang lebih selamat dengan kadar segera. Kita akan terus memantau perkara ini dengan lebih dekat.

“Mayor DBKK (Datuk Bandar Kota Kinabalu) melaporkan setakat ini sebanyak 33 buah rumah terjejas akibat tanah runtuh ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya disini malam tadi.

Hajiji turut menyarankan agar penduduk setempat sentiasa mematuhi nasihat agensi keselamatan termasuk arahan berpindah sekiranya penilaian risiko mendapati kawasan berkenaan bahaya untuk diduduki terutama ketika hujan berterusan.

Katanya, penduduk yang berpindah juga diharap dapat melaporkan keberadaan di Balai Bergerak yang telah dibuka oleh pihak polis berdekatan lokasi kejadian.

“Pusat Pemindahan Sementara (PPS) juga telah disediakan untuk penduduk yang memerlukan.

“Semau agensi kerajaan negeri dan persekutuan sedang mengambil tindakan susulan dan keutamaan akan diberikan untuk memastikan keselamatan penduduk serta kawasan sekitar,” katanya.

Dalam pada itu, Hajiji berkata, kerja membaik pulih bekalan air yang terganggu di Kampung Kopungit, khususnya yang berdekatan kawasan kejadian tanah runtuh juga sedang dilaksanakan.

“Salah satu tangki utama di kampung itu terpaksa dikosongkan bagi mengelakkan kejadian yang lebih buruk daripada berlaku kerana ia terletak di kawasan tanah runtuh,” katanya.

Selain tanah runtuh di kampung terbabit, Hajiji berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian terhadap kejadian sama yang menjejaskan keselamatan di Kompleks C, Hospital Queen Elizabeth (QEH) dan beberapa kawasan sekitar.

RELATED ARTICLES
Utama

Cubaan seludup minuman keras bernilai RM450,000, duti, cukai lebih RM1.9 juta...

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here

Most Popular

Recent Comments

Marianah Haji Mohd. Akil on Ibu Ebi AF5 Meninggal Dunia
Just ada kaitan with gui family on Bermula Jual Aiskrim Kini Bergelar Usahawan Berjaya