KOTA KINABALU : Sabah mencatatkan jumlah pesakit COVID-19 yang pulih sepenuhnya paling tinggi berbanding kes baharu iaitu sebanyak 5,668 orang selain merekodkan 54 kes kematian di negeri ini hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, bagi jumlah kes positif COVID-19 di Sabah hari ini mencatatkan penurunan sebanyak 40 kes namun masih melepasi angka 2,000 kes iaitu sebanyak 2,067 kes.
“Kota Kinabalu mencatatkan peningkatan sebanyak 65 kes setelah mencatatkan penurunan semalam, tetapi kes di kawasan perbandaran lain seperti Sandakan, Penampang dan Keningau mencatatkan penurunan kecuali Tuaran dan Kudat.
“Daerah lain juga mencatat penurunan kes kecuali Kota Belud bertambah 32 kes, Kinabatangan bertambah 20 kes, Tongod (+57) kes, Pitas (+15) kes, Beluran (+6) kes, Kunak (+3) kes, Semporna (+1) kes dan Kuala Penyu (+4) kes,” katanya dalam kenyataan disini malam ini.
Masidi berkata, daripada 2,067 kes hari ini, sebanyak 34.93 peratus atau 722 kes adalah lewat daftar antara dua hingga tiga hari selepas tarikh keluar keputusan,
Katanya, 4.55 peratus atau 94 kes adalah lewat daftar antara empat hingga lima hari dan 5.85 peratus atau 121 kes adalah lewat daftar melebihi lima hari.
“Saringan Kontak Rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian dengan 1,086 kes atau 52.40 peratus daripada 2,067 kes hari ini, 646 kes atau 31.3 peratus daripada Saringan Bergejala iaitu peratusan yang rendah berbanding semalam dan 152 kes atau 7.5 peratus daripada Saringan Kluster,” katanya.