COVID-19: Saringan Kontak Rapat Penyumbang Utama Kes Harian

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 48 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

KOTA KINABALU: Saringan Kontak Rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian dengan 1,294 kes atau 56.3% daripada 2,298 kes baharu hari ini selain 22 kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu tiga kes di Sandakan, Lahad Datu, Tawau dan Kudat, dua kes di Penampang, Semporna, Keningau dan Kota Kinabalu manakala Tenom dan Ranau masing-masing mencatatkan satu kes.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Seri Masidi Manjun berkata, selain Saringan Kontak Rapat menjadi penyumbang utama kes meningkat, ditambah pula 723 kes atau 31.5% daripada Saringan Bergejala, dan 56 kes atau 2.4 % daripada Saringan Kluster.

Katanya, di Kota Kinabalu, 38.34% daripada jumlah kes daerah tersebut hari ini berpunca daripada Saringan Bergejala, manakala Sandakan 31.6%, Tawau 57.9% dan Penampang 40.0%. Saringan bergejala adalah kes-kes sporadik yang berkemungkinan berjangkit akibat kelalaian mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP).

Berikutan dengan peningkatan kes hari ini, kes di Daerah Kota Kinabalu mencatatkan pertambahan 151 kes dan begitu juga dibeberapa daerah lain seperti Penampang (+53) kes, Putatan (+40) kes, Lahad Datu (+50) kes, Kota Marudu (+43), Pitas (+50) dan Ranau (+23).

Manakala kes menurun di Tuaran (-42) kes, Sandakan (-59) kes, Kinabatangan (-35) kes dan Tongod (-34) kes.

Menurut Masidi dalam kenyataannya, daripada 2,298 kes hari ini, 38.4% atau 883 kes adalah lewat daftar antara 2 hingga 3 hari selepas tarikh keluar keputusan, 4.3% atau 98 kes adalah lewat daftar antara 4 hingga 5 hari dan 8.8% atau 203 kes adalah lewat daftar melebihi 5 hari.

Walaupun majoriti pesakit (1,457) adalah mereka yang berumur antara 18 hingga 59 tahun tetapi seramai 191 orang yang dijangkiti adalah di kalangan kanak-kanak yang berumur 5 tahun ke bawah termasuk 27 bayi yang berumur kurang daripada satu tahun.

Bagaimanapun, bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 3,154 (termasuk yang discaj dari hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 141,230 orang.

Dalam perkembangan lain, mengikut statistik Penubuhan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) Negeri Sabah, setakat semalam (08 September 2021), sejumlah 65.36% penduduk dewasa Sabah telah pun memperolehi satu dos vaksin dan 48.63% telah melengkapkan pengambilan dos vaksin mereka.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *