Tikam Kepala Adik Gara-Gara Tidak Diberi Wang

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 18 Second

Oleh NORMIMIE DIUN

BEAUFORT: Polis menahan seorang lelaki disyaki menikam kepala adiknya dengan sebilah gunting gara-gara tidak diberikan wang oleh ibunya dalam satu kejadian di Kg Pintas dekat sini pada Rabu (8 Sept 2021).

Ketua Polis Daerah Beaufort, Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, suspek yang berusia 31 tahun itu berang dan mengamuk selepas ibunya tidak memberikan wang yang diminta.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 8 September 2021 jam 5.30 petang, bertempat di rumah mangsa di Kg. Pintas, Beaufort, mangsa dalam laporannya menyatakan telah menegur suspek yang juga abang kandungnya yang mengamuk dengan ibu mereka kerana tidak memberikan wang yang diminta lalu berlaku pergelutan sehingga suspek bertindak mengambil gunting dan menikam kepala mangsa menyebabkan mangsa mengalami kecederaan.

“Mangsa yang berusia 25 tahun itu mengalami kecederaan di bahagian atas kepala sebelah kiri dan luka di bahagian dada kanan akibat terkena hujung gunting yang digunakan suspek,” kata Yusoff dalam satu kenyataan media hari ini.

Hasil dari laporan mangsa, suspek telah berjaya ditangkap di belakang sebuah rumah tidak bernombor di Kg. Pintas, Beaufort oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort.

Pihak polis turut merampas sebilah gunting stainless steel pemegang plastik berwarna oren ukuran lebih kurang 21cm panjang.

Menurut Yusoff lagi, pengakuan awal suspek, dia mengaku ada mengamuk dan mengambil gunting tetapi tidak sengaja mencederakan mangsa.

Mangsa yang cedera dirujuk ke hospital Beaufort untuk rawatan lanjut.

Kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana sengaja mendatangkan cedera menggunakan senjata atau lain-lain benda berbahaya.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *