RM520 Juta Direkodkan Hasil Pendaratan Tuna Dalam Tempoh 8 Bulan Tahun Ini

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 50 Second

PULAU PINANG: Malaysia telah merekodkan hasil pendaratan tuna sebanyak 58,550 tan metric bernilai RM520 juta dalam tempoh lapan bulan bermula Januari sehingga Ogos lalu.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, meskipun negara dilanda pandemik COVID-19, Kerajaan tetap memberi komitmen penuh dalam pengurusan tuna di pelabuhan.

“Daripada jumlah pendaratan itu, pelabuhan Pulau Pinang menerima 20 kali pendaratan tuna membabitkan berat 1,301 tan yang dieksport ke Indonesia, Thailand, Singapura dan Vietnam.

“Melihat kepada hasil pendaratan ini, kerajaan menggalakkan sehingga 70 vesel penangkapan ikan tuna berbendera Malaysia beroperasi di Lautan Hindi menjelang tahun 2030. Ini bagi membolehkan kuota pendaratan ikan tuna Malaysia di Lautan Hindi sebanyak 30,000 tan tercapai,” katanya.

Beliau berkata dalam kenyataan selepas menghadiri Program Pendaratan Tuna di Dermaga Ayer Dalam, di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Setiausaha MAFI, Datuk Haslina Abdul Hamid dan Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang, Datuk Tan Teik Cheng.

Ronald berkata, sehingga Ogos lalu, sebanyak 20 vesel tuna iaitu 19 vesel penangkapan ikan tuna dan sebuah vesel carrier tuna dilesenkan serta beroperasi di Lautan Hindi, manakala satu lagi vesel penangkapan ikan tuna dalam proses pelesenan dijangka hujung tahun ini.

Katanya, MAFI bakal melancarkan Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030 sebagai inisiatif pembangunan dan pengurusan industri tuna negara yang menyeluruh selaras Dasar Agromakanan Negara 2.0 (DAN 2.0).

“Industri perikanan tuna kian rancak dibangunkan dan ia menjadi sumber kekayaan baharu negara hasil kerjasama semua pihak terutama pengusaha vesel penangkapan ikan tuna yang komited.

“Pelan Strategik Pembangunan Industri Tuna 2021-2030 wajar diterjemahkan dengan memastikan peluang ini dapat dimanfaatkan semua pihak kerana ia tidak terhad kepada aktiviti penangkapan saja, malah pelbagai perkhidmatan lain di sepanjang rantaian nilai industri tuna boleh dibangunkan seperti pelabuhan, pengangkutan, penyimpanan, pemprosesan dan lain-lain.

“Ini juga selaras transformasi sektor perikanan yang menyeluruh dengan hasrat dan jangkaan pihak berkepentingan serta menyokong pembangunan ekonomi negara,” katanya.

Dalam pada itu, Ronald berkata, negara harus mengambil peluang sebagai negara ahli Indian Ocean Tuna Commission (IOTC) untuk menghantar lebih banyak vesel perikanan menangkap ikan tuna di Lautan Hindi dan menggalakkan lebih banyak vesel tuna mendarat di Malaysia.

Setakat ini, katanya, Malaysia mempunyai dua pelabuhan pendaratan ikan tuna iaitu di Pulau Pinang dan Langkawi.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *