Kim Swee Diyakini Mampu Bentuk Sabah FC Setanding Pasukan Lain

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 39 Second

KOTA KINABALU: Kehadiran bekas Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Ong Kim Swee bagi membimbing skuad Sabah FC diyakini mampu membentuk sebuah pasukan yang setanding dengan pasukan lain di negara ini.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (SAFA) Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, ia juga merupakan satu langkah serius skuad Sabah FC bagi mengangkat sukan bola sepak di negeri ini ke tahap yang lebih tinggi dan positif.

“SAFA sebagai badan induk bola sepak di negeri ini sangat mengalu-alukan usaha yang diambil Sabah FC.

“Sudah pasti kita yakin dengan kehadiran Kim Swee mampu untuk membentuk sebuah pasukan yang setanding dengan pasukan-pasukan lain di negara ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan Sabah FC menggunakan khidmat Kim Swee sebagai ketua jurulatih baharunya.

Terdahulu, Kim Swee turut mengadakan perjumpaan dengan Bung Moktar di ibu negara hari ini susulan penerimaan tugas baharunya dengan Sabah FC.

Bung Moktar berkata, sebagai badan induk bolasepak di Sabah, SAFA bertanggungjawab untuk memantau prestasi Sabah FC agar ia tidak tersasar dari matlamat untuk meningkatkan mutu bolasepak di negeri ini.

“Peminat bolasepak mengharapkan Sabah FC sentiasa  menunjukkan pencapaian yang baik dan pada masa yang sama, SAFA juga sejak dari awal penubuhan kelab profesional ini mahu ia terus cemerlang dalam sukan ini.

“Saya juga yakin bahawa Sabah FC mampu mengembalikan kegemilangan bolasepak di Sabah seperti yang pernah dikecapi sebelum ini,” katanya.

Semalam, FAM mengesahkan sudah menerima peletakan jawatan Kim Swee sebagai Pengarah Teknikalnya semalam dan akan memulakan tugas baharu sebagai ketua jurulatih Sabah FC berkuatkuasa 1 Oktober ini.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, pihaknya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Kim Swee atas khidmatnya bersama FAM dan berharap dia berjaya dengan karier baharu dengan Sabah FC.

Minggu lalu, Pengurus pasukan Sabah FC, Marzuki Nasir mengumumkan keputusan kelab itu untuk merehatkan ketua jurulatihnya, Kurniawan Dwi Yulianto berikutan prestasi merudum pasukan dalam saingan Liga Super.

Penolong jurulatih, Burhan Ajui telah dilantik sebagai pengendali sementara pasukan selain melantik jurulatih Jelius Ating sebagai penolong pengurus pasukan.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *