PICK: Usaha Berterusan Mampu Tingkatkan Jumlah Penerima Vaksin COVID-19 Di Sabah

Langgani saluran TELEGRAM kami untuk berita terkini
Read Time:1 Minute, 23 Second

KOTA KINABALU : Usaha berterusan dalam pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) di negeri ini diyakini mampu meningkatkan jumlah penerima vaksinasi bagi membantu kerajaan mencapai imuniti kelompok.

Pengerusi bersama Sambutan Hari Malaysia  2021 Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, lebih 50 peratus individu dewasa di negeri ini telah berjaya melengkapkan pengambilan vaksin COVID-19.

“Sudah pasti kita menjangkakan menjelang Oktober ini, sebanyak 80 peratus penduduk dewasa di negeri ini  akan menerima vaksin dan selepas itu kita boleh memulakan pemberian vaksin kepada golongan remaja.

“Di kawasan bandar saya melihat kadar pemberian vaksinnya berjalan lancar malah ada beberapa buah daerah seperti Beaufort dan Putatan telah pun mencapai angka 100 peratus pemberian vaksin kepada penduduknya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam temubual sempena Hari Malaysia yang diadakan di Sabah esok.

Bung yang juga Timbalan Ketua Menteri berkata, kerajaan kini memberi tumpuan kepada penduduk dikawasan luar bandar  dan pedalaman dengan mengadakan lebih banyak program jangkauan luar termasuklah penggunaan vaksin jenis CanSino.

Katanya, Malaysia dijangka akan menerima 300,000 dos vaksin itu pada bulan ini dan Sabah  sudah pesti akan menerima agihan sepatutnya daripada jumlah tersebut.

“Kerajaan Pusat melalui  Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga memberikan jaminan akan membekalkan sebanyak 2.89 juta dos vaksin COVID-19 bulan ini.

“Ini sudah pasti akan meningkatkan lagi kadar vaksinasi harian kepada 60,000 dos hingga 70,000 dos sehari bagi kita mencapai sasaran 60 peratus penduduk divaksin menjelang akhir bulan ini,” katanya.

Beliau juga yakin Sabah akan mampu mengekang penularan pandemik COVID-19 melalui pemberian vaksin kepada rakyat di negeri ini.

“Masyarakat juga boleh  menjalani kehidupan seharian secara normal , disamping  memulihkan keadaan  ekonomi yang terjejas sebelum ini,” katanya. 

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *