Penyambungan Laluan Sky Bridge Ke Centre Point Dimulakan Tahun Depan

Read Time:1 Minute, 21 Second

KOTA KINABALU: Pusat membeli-belah Centre Point Sabah (CPS) mengambil keputusan untuk melaksanakan pembinaan penyambungan jejantas Sky Bridge ke bangunan itu bermula tahun depan.

Pengurus Besar CPS Megan Liu berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan bersama Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) berhubung projek itu dan bersetuju untuk menanggung kos bagi menyelesaikan sambungan jejantas Sky Bridge ke pusat membeli-belah itu.

“Sebelum ini pihak pengurusan telah memperuntukkan anggaran perbelanjaan bagi tujuan pembinaan sambungan ini. Namun disebabkan kemajuan projek ini tidak stabil, jadi kami sukar untuk menyerahkan kepada kontraktor.

“Kami juga memahami kesukaran yang harus ditanggung  oleh peniaga premis sehingga memberi rebet berjumlah RM1.44 juta bagi meringankan beban aliran tunai pengusaha perniagaan,” katanya dalam kenyataan disini semalam.

Megan berkata, wabak pandemik COVID-19 juga menjadikan faktor kepada penurunan penjualan yang serius di pusat membeli-belah itu selain pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Justeru, anggaran peruntukkan bagi pembinaan penyambungan jejantas itu telah digunakan untuk tujuan yang lebih penting dan juga beberapa projek amal seperti program ‘Food Bank’, Kempen Derma Darah dan penajaan kepada petugas barisan hadapan.

“Saya juga berharap agar kerajaan negeri atau DBKK dapat memperuntukkan sejumlah anggaran perbelanjaan tahun depan untuk membantu pusat membeli-belah bagi menyelesaikan pembinaan sambungan jejantas Sky Brodge ke pusat membeli-belah ini,” katanya.

Jejantas Sky Bridge sepanjang 400 meter itu dirasmikan Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor pada 3 September lalu dan mula dibuka kepada awam pada 9 September.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *